24 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
TAWAU — Polis Lahad Datu menembak mati seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Oyong’ selepas disyaki terlibat dalam empat kes rompakan di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditembak di Kilometer 14, Jalan Silam-Kunak pada 7.35 malam tadi setelah melepaskan tembakan ke arah polis ketika cuba meloloskan diri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata sebelum itu, Oyong yang menunggang motosikal, dikatakan bertemu seorang rakan apabila terserempak dengan sepasukan anggota polis.
"Sebaik keluar di jalan raya, anggota polis memberi amaran agar berhenti, namun tidak diendahkan suspek, sebaliknya memecut motosikal sehingga polis terpaksa mengejarnya sejauh lima kilometer sebelum berjaya memintasnya.
"Selepas dipintas, penjenayah berkenaan turun dari motosikal dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah polis. Polis yang bertindak mempertahankan diri melepaskan dua das tembakan dan mengenai perutnya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Polis Daerah seluruh Sabah hari ini.
Polis menemui sepucuk pistol yang berisi lima butir peluru dan 44 peluru hidup di tempat kejadian.
Hamza berkata, polis juga memburu rakan suspek yang dikenali sebagai Dul Kibe, berusia lingkungan 30-an dengan alamat terakhir di Ladang Permai Lahad Datu, yang berjaya melarikan diri dalam kejadian itu.
Katanya, Dul amat dikehendaki polis dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan diminta menghubungi polis dengan segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan