21 April 2011

Berapa Felda belanja PRK Tenang, Kerdau

17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak Felda menyatakan jumlah perbelanjaan yang dibuat untuk pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, Johor dan Kerdau, Pahang.

Pengerusinya, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sepanjang tempoh kempen untuk kedua-dua pilihan raya kecil itu yang masing-masing pada Januari dan Mac lalu, seluruh jentera Felda digunakan untuk membantu kempen BN.

Dun Tenang dan Kerdau masing-masing mempunyai tiga Felda.

"Kita dapati bagaimana jentera Felda diperkudakan, semua pegawai-pegawai mereka di Kuala Lumpur,semua pengurus Felda dan anak-anak syarikat digembleng untuk terlibat secara langsung dalam kempen pilihan raya kecil," katanya kepada Harakahdaily.

Januari lalu, Mazlan pernah mendedahkan bukti bahawa BN menggunakan pelbagai kemudahan serta bajet sokongan untuk membantu jentera BN di Tenang.

Beliau mendakwa kenderaan rasmi serta pegawai Felda turut dikerah untuk menggerakkan kempen BN di Tenang termasuk menggunakan kenderaan rasmi dan mengerah pegawainya turun berkempen.

Dakwanya juga, pejabat Felda beroperasi sehingga jam 11malam sepanjang tempoh kempen sedangkan waktu kerja sehingga lima petang sahaja.

Sementara itu, pada sidang media semalam juga, Mazlan turut mendesak Felda menjelaskan dakwaan bahawa bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Yusof Noor diberi hadiah saguhati berjumlah RM84,000 oleh salah satu daripada sepuluh wilayah Felda.

Beliau menunjukkan slip pembayaran yang menunjukkan Wilayah Segamat membuat pembayaran itu sewaktu Mohd Yusof bersara pada Januari lalu.

"Saya sudah dua tiga kali tanya berapa jumlah (bayaran) persaraan kepada Tan Sri Yusuf Nor yang sampai hari ini tak dijawab.

"Di Wilayah Segamat sahaja yang dibayar kepada beliau sebanyak RM84,000. Ini baru satu wilayah.

"Adakah wilayah lain juga diarahkan membuat bayaran seperti itu? Jika mereka bayar, adakah jumlahnya sama?" soalnya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: