21 April 2011

Jepun isytihar loji nuklear zon larangan

17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Jepun hari ini mengisytiharkan kawasan 20 kilometer keliling di loji nuklear yang tercemar radiasi selepas tsunami dan gempa bumi bulan lalu sebagai kawasan larangan.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano, berkata perintah larangan itu dikeluarkan bagi menghalang sebarang kemasukan orang ramai sejak pihak berkuasa memindahkan mereka keluar pada 12 Mac lalu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut termasuk hukuman kepada mereka yang mengingkari larangan itu.
Edano berkata, pihak berkuasa akan mengaturkan masa lawatan tertentu kepada penghuni di sekitar loji nuklear itu untuk balik ke rumah masing-masing bagi mengambil barang.

Hampir semua 80,000 penghuni di kawasan loji berkenaan sudah meninggalkan kediaman mereka selepas krisis kebocoran nuklear tercetus akibat tsunami dan gempa bumi paling kuat melanda negara itu bulan lalu.

Bagaimanapun sesetengah penduduk sudah kembali ke kawasan itu dan polis sebelum ini tidak mempunyai peraturan untuk menegah mereka. - AFP

Tiada ulasan: