17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Walaupun pernah diserbu polis tiga kali sejak tahun lepas, enam premis yang dijadikan pusat judi berkomputer di sebuah pusat membeli belah di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini didapati tidak serik dan terus menjalankan operasi mereka.
Keenam-enam premis itu diserbu untuk kali ke empat hari ini oleh polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Pegawai Turus D7 IPKKL, Azman Mohd Isa berkata polis menahan 20 individu termasuk 14 pelanggan dalam serbuan yang bermula kira-kira pukul 3.30 pagi itu.
"Semua penjaga premis yang ditahan berumur antara 28 dan 39 tahun manakala pelanggan berumur antara 27 dan 54, selain itu 69 komputer dan wang tunai RM940 turut dirampas," katanya di lokasi serbuan.
Beliau berkata semua pusat judi itu didapati berselindung di sebalik pusat hiburan yang lain seperti pusat karaoke, snuker dan pusat permainan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Di luar mereka tampal poster seperti pusat video game yang lain, saya nafi pusat-pusat perjudian 'kebal' dari undang-undang, mereka (biasanya) beroperasi dengan berselindung di sebalik pusat video game, snuker dan karaoke," katanya.
Azman berkata semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara sehingga lima tahun. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan