21 April 2011

Khidmat dilanjut 5 tahun lagi

17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Zeti Akhtar Aziz
Pelantikan semula Zeti sebagai Gabenor Bank Negara dapat perkenan Seri Paduka

KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dilanjutkan lima tahun lagi berkuat kuasa 1 Mei depan apabila penggal perkhidmatan sekarang berakhir 30 April.

Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata pelantikan semula itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Zeti, 64, ialah Gabenor Bank Negara ketujuh dan dilantik ke jawatan itu pada 1 Mei 2000.
Sepanjang menerajui bank pusat itu, beliau memainkan peranan penting dalam pelaksanaan serta pembentukan dasar monetari, selain memastikan kestabilan sistem kewangan Malaysia.

Beliau juga mengendalikan transformasi sistem kewangan negara menjadi antara sistem kewangan paling kukuh dan maju di kalangan ekonomi sedang berkembang, termasuk menerajui bidang pembangunan kewangan Islam di peringkat domestik dan antarabangsa serta meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam ekonomi Malaysia.

Zeti juga aktif membentuk masa depan kerjasama kewangan di rantau Asia dan menjadi suara penting kepada ekonomi sedang berkembang di pentas kewangan antarabangsa.

Dalam mempromosikan integrasi serantau, Zeti mempengerusikan Pasukan Petugas Mesyuarat Eksekutif Bank Pusat Asia Pasifik Timur (EMEAP) mengenai kerjasama serantau di kalangan bank pusat Asia untuk menggariskan hala tuju kerjasama kewangan masa depan serantau.

Zeti juga kini adalah ahli Lembaga Gabenor Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Pengerusi Lembaga Pengarah SEACEN, selain ahli Penempatan Antarabangsa Bank (BIS) bagi Kumpulan Tadbir Urus Bank Pusat sejak 2001 dan ahli pengasas Majlis Perundingan Asia BIS.

Dalam bidang kewangan Islam, beliau terbabit secara aktif dalam pembangunannya sama ada di pentas domestik dan antarabangsa. Zeti juga mempengerusikan Jawatankuasa Pelaksana bagi penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan bertindak sebagai Pengerusi Majlisnya bagi penggal 2007.

Zeti juga beberapa kali menggondol anugerah daripada penerbitan terkemuka antarabangsa, antaranya Gabenor Bank Pusat Tahunan Asia 2010 daripada majalah Emerging Markets, anugerah Ahli Bank Pusat Tahunan 2005 daripada Euromoney, Ahli Bank Pusat Tahunan 2004 daripada majalah Banker dan Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia 2003 daripada majalah Emerging Markets.

Di IPOH, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pelantikan semula Zeti bagi memastikan kesinambungan dalam kepemimpinan BNM kerana di bawah kepemimpinannya, bank pusat itu menjadi institusi yang kukuh dan disegani di dalam dan luar negara.

“Oleh itu, wajar beliau diberi peluang meneruskan kepemimpinan dalam BNM. Kita berdepan suasana sangat mencabar dan kesinambungan itu amat penting dalam mengendalikan institusi sangat penting seperti BNM.

“Seperti kita maklum dalam krisis global baru-baru ini, kita tidak alami kesan yang kuat disebabkan mempunyai sistem perbankan yang kukuh dan mudah pulih. Satu faktornya adalah kepemimpinan BNM mengendalikan institusi kewangan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bank-bank di Malaysia yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, menyifatkan perlantikan Zeti sebagai perkembangan yang baik dan amat disokong oleh masyarakat perbankan.

“Kami masyarakat perbankan memang mempunyai penghormatan tinggi terhadap Zeti sebagai seorang gabenor dan beliau berjaya mempertingkatkan imej Malaysia di dalam sistem kewangan di dunia. Ini perkembangan yang baik dan saya pasti ia amat disokong oleh masyarakat perbankan,” katanya.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: