21 April 2011

6 penunjuk perasaan maut di Yaman

17 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

PENUNJUK perasaan antikerajaan berhimpun untuk mendesak Ali Abdullah meletak jawatan di Sanaa, Yaman, semalam.

SANAA: Sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan dan seorang anggota polis terbunuh manakala 60 lagi cedera semalam ketika pasukan keselamatan cuba menyuraikan orang ramai yang berhimpun dengan melepaskan tembakan peluru hidup semalam.

“Angka kematian yang disahkan setakat ini adalah lima orang manakala 60 lagi menerima rawatan akibat cedera ditembak atau dibelasah dengan belantan, 23 daripada mereka kini kritikal,” kata seorang pegawai perubatan di khemah sementara yang didirikan di lokasi tunjuk perasaan.

Beliau berkata, beratus-ratus orang lagi cedera ringan akibat terkena gas pemedih mata, apabila polis menyuraikan penunjuk perasaan.

Sementara itu seorang pejalan kaki di bandar Taez terbunuh akibat terkena peluru sesat apabila polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menuntut Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan.

Penunjuk perasaan berkata sejumlah besar pasukan polis pencegah rusuhan mengepung Medan Sittin di barat Sanaa dan melepaskan tembakan ke arah mereka.

Saksi berkata penunjuk perasaan bagaimanapun berjaya melepaskan diri daripada kepungan polis dan menuju ke pusat perhimpunan mereka di universiti Sanaa.

Kira-kira 130 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan yang berlaku di seluruh Sanaa sejak akhir Januari lalu.
Kumpulan pembangkang bertegas bahawa Salleh mesti meletak jawatan selepas memerintah negara itu sejak 1978. – AFP

Tiada ulasan: