29 Jun 2011

600 pemuda protes SMS ugutan bunuh

27 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Hampir 600 Pemuda UMNO mengepung ibu pejabat PKR di Tropicana Merchant Square sebagai tanda memprotes ugutan bunuh terhadap ketua mereka, Khairy Jamaluddin, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Exconya, Lokman Noor Adam mendakwa, SMS ugutan bunuh itu dihantar penyokong pembangkang.

Menurutnya, kumpulan itu berkumpul di depan pejabat PKR sekitar jam 10.30 malam dan mula menghalang laluan serta membuat laungan.

“SMS itu berbunyi, sekiranya Pemuda UMNO meneruskan perhimpunan patriot 9 Julai depan bagi menentang demonstrasi jalanan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), mereka akan disembelih, tetapi ia langsung tidak menggentarkan kami dan perhimpunan itu tetap diteruskan.

“Kumpulan yang dianggotai 400 Pemuda dari Selangor dan 200 Pemuda Wilayah Persekutuan ini mempunyai mesej jelas kepada PKR bahawa kami tidak takut serta bersedia untuk berhadapan dengan mereka lebih awal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Lokman berkata, kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pemuda UMNO mahu membakar pejabat dan mencederakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga adalah fitnah.

“Kami langsung tidak menyebut untuk berbuat demikian. Saya mencabar dia (Saifuddin) tayangkan rakaman mengenai ugutan bunuh dan mencederakan ini.

Menurutnya, laporan polis mengenai kenyataan Saifuddin itu telah dibuat dan sama ada hendak mengambil tidakan undang-undang atau tidak masik dalam kajian.

Kelmarin, tindakan itu diadakan selepas beberapa jam wakil Bersih 2.0, Pemuda UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dipanggil polis.

sinarharian/-

Tiada ulasan: