27 Rejab 1432H. [MOD]
Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) kesal dengan pembaziran yang berlaku di kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya yang dipercayai bernilai lebih RM 48.7 juta setahun. Kos sewa sahaja dilaporkan mencecah RM 2.7 juta sebulan, air RM 32 ribu sebulan, dan elektrik RM 171 ribu sebulan.
Kenapa sehingga ke hari ini kerajaan masih menyewa bangunan-bangunan pejabat termasuk kediaman rasmi pemimpin negara di Putrajaya daripada Perbadanan Putrajaya sedangkan selama ini mereka mencanangkan seantero dunia bahawa Putrajaya adalah Projek Kerajaan Barisan Nasional.
Malah, urusan penyelenggaraan dan baik pulih bangunan-bangunan ini juga ditanggung oleh Kerajaan bukannya Perbadanan Putrajaya dan ini dijelaskan dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kos baik pulih RM3,581,744.78 kediaman PM dan TPM termasuk dalam senarai liabiliti kerajaan.
DPPP mendesak agar Kerajaan memberikan penjelasan mengenai status hak milik sebenar bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya dan kenapa kerajaan enggan memilik negarakannya sebagai aset tetap.
Dalam erti kata lain Perbadanan Putrajaya mempunyai kuasa penuh untuk menentukan siapakah yang berhak menyewa bangunan milik mereka kelak.
Jika berlaku pertukaran Kerajaan, Perbadanan Putrajaya boleh melakukan sabotaj dengan menghalau atau menaikan nilai sewaan sedangkan rakyat tahu, dana pembinaan Putrajaya datangnya dari poket rakyat.
Jadi, wajiblah kerajaan menjelaskan kuasa dan status sebenar Perbadanan Putrajaya dan memastikan dana rakyat tidak dibazirkan. Adalah memalukan bila negara yang mempunyai wawasan yang besar tidak mampu memiliki bangunan pentadbirannya sendiri dan terpaksa menyewa daripada agensi lain.
Riduan Mohd Nor
Ketua Penerangan, Dewan Pemuda Pas Pusat
1 ulasan:
tidak spt pemerintahan Rasulullah saw, para sahabat dan khalifah ar rashidin mrk takut akan azab Allah swt.
Catat Ulasan