29 Jun 2011

Waran tangkap helah bunuh Gaddafi

27 Rejab 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Kerajaan Libya menolak waran tangkap antarabangsa dikeluarkan terhadap pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi dan menganggapnya sebagai alasan kuasa Barat untuk membunuh beliau.

Menteri Undang-Undang Libya, Mohammed Al-Gamudi berkata, waran tangkap yang turut dikeluarkan kepada anak lelaki Gaddafi, Saif Al-Islam dan ketua perisik Libya, Abdullah al-Senussi atas dakwaan melakukan kekejaman terhadap pembangkang politik adalah satu helah besar.

“Waran tangkap itu han­ya alasan untuk membenarkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) membunuh Gaddafi,” katanya.

Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaaim pula berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat berfungsi sebagai alat dasar luar Eropah.

“Ia adalah sebuah mahkamah politik yang berkhidmat untuk kerajaan Eropah. Mahkamah kami sendiri akan menangani mana-mana pencabulan hak asasi manusia dan jenayah lain di Libya,” katanya.

Menurut ICC, ketiga-tiga lelaki itu dikehendaki kerana peranan mereka menindas pemberontakan Libya dan menuduh ramai orang awam dibunuh dan diseksa pasukan tentera Gaddafi.

sinarharian/-

Tiada ulasan: