06 Julai 2011

50 Individu Nyala Lilin Depan Bukit Aman

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 individu mengadakan perhimpunan aman dan menyalakan lilin di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini malam ini bagi menuntut polis membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mereka mula berhimpun sejak 8.15 malam dan antara yang hadir termasuk kaum keluarga enam aktivis terbabit, ahli politik, anggota Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan anggota Lawyers for Liberty.

Pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim berkata pihaknya telah pun menyerahkan bantahan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai perkara ini dan memohon kerjasama polis agar kesemua enam aktivis itu dibebaskan.

Kumpulan itu bersurai secara aman kira-kira setengah jam kemudian.

Keenam-enam anggota PSM yang ditahan itu, termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas, pada Sabtu lepas, ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang.

Kesemua anggota PSM itu dikatakan terlibat dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi oleh anasir-anasir subversif.

Polis masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.- BERNAMA

Tiada ulasan: