SEOUL - Seorang askar marin Korea Selatan memberitahu dia berang kerana dipulau, selain mempunyai tanda-tanda sakit mental sebelum dia membunuh empat rakan sekerjanya di sebuah pangkalan barisan hadapan, kata beberapa pegawai tentera semalam.
Askar marin berusia 19 tahun berpangkat koperal itu yang dikenali sebagai Kim, turut mencederakan seorang askar marin lain kelmarin apabila dia melepaskan tembakan di pangkalan tentera Pulau Ganghwa di selatan sempadan maritim dengan Korea Utara.
Ketua penyiasat insiden berkenaan, Kwon Yeong-jae memberitahu wartawan bahawa Kim mengalami masalah psikologi sambil merujuk kepada sekeping nota yang menunjukkan Kim kecewa dengan hidupnya.
Menurut pegawai berkenaan, Kim cuba untuk membunuh diri dengan meletupkan sebutir bom tangan selepas dia mengamuk, tetapi percubaannya gagal.
Insiden tembakan rambang itu merupakan yang terburuk pernah dialami tentera Korea Selatan sejak 2005, apabila seorang askar membaling sebutir bom tangan dan melepaskan tembakan rambang yang meragut lapan nyawa askar dan mencederakan beberapa yang lain. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan