06 Julai 2011

ASP dituduh rasuah

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan menerima rasuah di Kerian pada 6 Julai tahun lalu.

Chong Kean Heng, 53, dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 5 Ogos ini sebagai sebutan semula kes selepas tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguambela, Abdul Aziz Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengurangkan wang ikat jamin tersebut kepada RM10,000.

Selepas membuat pertimbangan, Julie Lack membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 melalui seorang penjamin.

Tertuduh turut menghadapi empat pertuduhan rasuah dan akan dituduh di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Tiada ulasan: