06 Julai 2011

Bot flotila Perancis belayar ke Gaza

4 Syaaban 1432H. [MOD] -



ATHENS - Sebuah bot Perancis berjaya menyelinap keluar dari perairan Greece semalam dalam percubaan untuk mematahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza, sekali gus menghidupkan semula kempen antarabangsa yang tergendala.
Bot yang dikenali sebagai Dignite - Al Karama setakat ini merupakan satu-satunya bot daripada flotila yang melibatkan kira-kira 11 buah kapal kumpulan aktivis pro-Palestin yang berjaya belayar keluar dari Greece, selepas pihak berkuasa negara itu menghalang kapal-kapal lain daripada keluar dari pelabuhan Piraues, Athens.
Bot sepanjang 19 meter itu dinaiki lapan penumpang. Ia dijangka berada di perairan Gaza dalam masa sehari dua lagi, jelas seorang jurucakap kempen flotila Gaza, Jean-Claude Lefort.
Menurutnya, bot Dignite dapat membolosi kawalan pihak berkuasa Greece kerana ia tidak dapat dikesan berikutan bot berkenaan bukan berada di Piraeus tetapi di tempat lain.
Terdahulu, pihak berkuasa Greece menyatakan, ia menguatkuasakan larangan belayar ke atas flotila ke Gaza demi keselamatan sejumlah aktivis pro-Palestin di atas kapal-kapal berkenaan. - AFP

Tiada ulasan: