13 September 2011

Banjir Batu 8 Gombak akan diatasi segera

15 Syawal 1432H. [MOD] -



GOMBAK, 13 Sept: Masalah banjir yang berlaku di Batu 8, Gombak utara akan diambil tindakan segera ekoran mesyuarat khas bersama Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selasa depan.

Ia akan diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Gombak Setia, kata Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali selepas selesai menguruskan pengebumian jenazah salah seorang penduduk Gombak, Allahyarhum Osman Awang, 90 tahun akibat diserang sakit jantung. 

“Saya difahamkan oleh petugas khas PKM DUN Gombak Setia,  Mohd Nor Husin dan Ketua Zon 9 Gombak Zulkifli Ibrahim  ketika mereka membuat lawatan ke kawasan tersebut memaklumkan bahawa masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan berpunca daripada projek pembersihan aliran  air sungai  Gombak yang dikendalikan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu (UMNO/BN). Projek tersebut tergendala walaupun pampasan telah diberikan oleh beberapa penduduk disini," katanya.

Justeru itu, bagi mengatasi masalah ini, satu mesyuarat khas dengan semua jabatan yang terlibat bagi mengatasi isu banjir akan diadakan dengan segera.

“Kita harap semua jabatan dapat memberi kerjasama  dengan  menyediakan laporan daripada setiap jabatan,"  kata Hasan kepada media selepas menyerahkan Sumbangan Khairat Kematian Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa  pertama RM1000 kepada keluarga waris  arwah Allahyarhum Osman Awang  di Tanah Perkuburan Batu 8, Gombak kelmarin.

Sementara itu,  Petugas  Khas PKM DUN Gombak Setia,  Mohd Nor Husin pula berkata, Projek pembersihan aliran air sungai Gombak tergendala sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah lagi.
Berbagai aduan diberikan oleh penduduk kepada Adun terdahulu namun tiada tindakan drastik diambil walaupun terdapat nyawa penduduk terkorban apabila musim hujan.

“Kita difahamkan oleh beberapa penduduk, kerajaan terdahulu telah memberi pampasan kepada beberapa penduduk disini tetapi projek yang menelan lebih RM100 Juta  terbengkalai tanpa diambil tindakan oleh kerajaan terdahulu.

“Kita benar-benar rasa kesal dengan kerja yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu tanpa memberi hasil yang baik kepadan rakyat," katanya.

Akibat kerja yang dilakukan sekerat jalan menyebabkan kebanyakkan penduduk disini  terpaksa membina  rumah mereka dengan tinggi atau membuat tembok bagi mengelak berlakunya banjir.

"Oleh yang demikian saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera demi menjaga keselamatan penduduk," kata Mohd Nor Husin.

1 ulasan:

Mat berkata...

Asalamualaikum- Saya ingin bertanya siapakah pelukis gambar diatas ini? T.kasih- Mat