13 September 2011

Campak dalam longkang lepas bunuh

15 Syawal 1432H. [MOD] -



SERDANG: Seorang lelaki warga asing mati dipercayai dibunuh dua rakan sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Bandar Satu, Pusat Bandar Puchong, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari orang awam yang terkejut melihat sekujur tubuh di dalam longkang di situ sebelum menghubungi polis.


Difahamkan, mangsa warga Myanmar berusia 20-an, bergaduh dengan dua rakan senegaranya masing-masing berusia 27 dan 29 tahun.


Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata mayat mangsa ditemui di dalam longkang selepas dicampak suspek.


Katanya, mereka mabuk sebelum bergaduh menyebabkan dua rakan membunuh mangsa dengan jubin marmar.



“Siasatan menunjukkan mangsa maut akibat parah di kepala selepas dihentak dengan jubin marmar di kepala sebanyak dua kali,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, siasatan unit forensik memungut 16 spesimen di tempat kejadian termasuk satu serpihan jubin marmar yang digunakan suspek untuk memukul mangsa.


Menurutnya, polis menyerbu dua rumah sewa di Jalan Bandar Satu dan Jalan Bandar Dua, Pusat Bandar Puchong sebelum menemui dokumen pengenalan diri dua suspek berserta gambar. Suspek pernah bekerja berdekatan tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengumpul maklumat kejadian.

Tiada ulasan: