13 September 2011

Trafik ibu kota perlahan, jalan utama ditutup

15 Syawal 1432H. [MOD] -

Keadaan trafik di sekitar ibu kota bergerak perlahan berikutan beberapa jalan utama ditutup secara berperingkat mulai hari ini hingga Jumaat sempena sambutan kemerdekaan negara dan Hari
Malaysia.

Jurucakap Trafik Jalan Bandar berkata trafik perlahan sehingga pukul 10 pagi juga disebabkan terdapat pelajar sekolah rendah bercuti kerana peperiksaan bertulis Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini.

"Sekiranya pelajar sekolah tidak bercuti hari ini, kemungkinan berlaku kesesakan teruk di sekitar ibu kota kerana ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah dan orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jalan utama yang ditutup bermula pukul 8.15 pagi melibatkan Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara), Jalan Lembah, Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin, Jalan Tembusu, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.

Turut ditutup ialah Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak, Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Mahkamah Persekutuan.

- Bernama

Tiada ulasan: