13 September 2011

Cukai 6%: Muslihat Umno BN kelirukan rakyat

15 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 12 Sept: Para pemimpin Umno BN diingatkan agar bercakap benar dalam pelbagai perkara demi kepentingan rakyat dengan tidak memutarbelitkan isu untuk mengambil hati orang ramai.

Tindakan para pemimpin Umno yang menyembunyikan perkara sebenar bukan hanya mengelirukan rakyat, tetapi juga tidak akan menguntungkan sesiapa termasuk parti itu sendiri.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (gambar)berkata, namun dalam hal caj cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna perkhidmatan telefon mudah alih prabayar, para pemimpin Umno tertentu jelas bersikap flip-flop dan bermuslihat.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya menyalahkan syarikat telekomunikasi (Telco) berhubung perkara itu dan turut mengingatkan syarikat-syarikat terbabit termasuk Celcom, Maxis dan Digi agar tidak membebankan orang ramai.

Katanya, menteri-menteri lain turut bercakap senada dengan Perdana Menteri tanpa merujuk kepada realiti bahawa tindakan Telco itu sendiri adalah atas kebenaran kerajaan.

"Tindakan mereka itu samalah dengan sesetengah ilmuan berhubung soal penjajahan negara sekarang, apabila mereka mengatakan negara kita tidak pernah dijajah, pada hal sejak di bangku sekolah lagi kita dah diajar bahawa negara kita dijajah oleh British.

"Dengan memutarbelitkan kebenaran termasuk fakta sejarah, orang ramai menjadi keliru mana satu yang betul. Hari ini kata ya, esok pula kata tidak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberi jaminan caj cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna perkhidmatan mudah alih prabayar tidak akan dilaksanakan selagi belum ada keputusan kerajaan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, Telco perlu berbincang dan mendapat persetujuan kerajaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tindakan tersebut.

"Kementerian memberi jaminan bahawa tiada kenaikan akan berlaku pada masa terdekat ini dan sebarang kenaikan hanya boleh dilakukan selepas mendapat persetujuan dari kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," katanya pada sidang media, di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis Malam Kebudayaan Onam 2011 bagi mengulas keputusan Telco pada 8 September lalu untuk mengenakan caj tersebut bagi produk tambah nilai dan pek permulaan bermula Khamis ini, D'Cruz menegaskan, tindakan Telco yang mengeluarkan notis singkat berhubung isu yang boleh membebankan pengguna itu sebagai tidak wajar.

Dalam kenyataannya, Telco telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak 6% dalam semua jualan kad prabayarnya mulai 15 September ini.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Abdul Ghani berkata, kenyataan-kenyataan seperti itu ternyata hanya putarbelit para pemimpin Umno BN kerana tindakan yang diambil oleh Telco itu sendiri sebenarnya sudah diketahui, malah dipersetujui oleh pemimpin Umno BN sendiri sebelum keputusan itu diumumkan oleh Telco pada 8 September lalu.

"Bukti paling jelas apabila perkara itu sendiri sebenarnya sudapun dimasukkan dalam Bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri menjelang tahun 2011 lalu dan telah diluluskan oleh Kerajaan BN," katanya.

Dalam hubungan ini, menurut beliau, Telco sebenarnya hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib, tetapi apabila mereka ingin melaksanakannya, Najib dan para pemimpin Umno BN pula yang menyalahkan Telco kononnya bagi menggambarkan keprihatinan mereka kepada rakyat.

"Pada hal, apa yang dilakukan itu jelas mempunyai muslihat tertentu. Dengan langkah tersebut bermakna setiap RM10 nilai kad prabayar, harganya akan menjadi RM10.60, apabila 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

"Dengan jumlah 60 sen setiap RM10 yang akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan itu, menurut mereka yang pakar, Kerajaan BN dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai itu untuk tahun ini sahaja," jelasnya.

Wang itu, katanya, pasti amat berguna kepada Umno BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dan untuk menyembunyikan perkara itu, mereka tergamak berbohong kepada rakyat dengan menafikan keputusan yang telah dipersetujui oleh mereka sendiri yang ingin dilaksanakan oleh Telco sekarang.

Beliau menambah kata, Umno perlu ikhlas, jujur, adil dan telus serta professional dalam tindak tanduk mereka mengurus kepentingan rakyat dan orang ramai.

"Mereka perlu jujur kepada nilai-nilai kebenaran, keagamaan dan keluhuran. Mereka harus ingat bahawa amal tanpa ikhlas kerana Allah sia-sia. Malah ikhlas tanpa bersendikan akidah, ilmu dan dasar perjuangan Islam yang betul hanya membawa kepada kesesatan dan kerugian di dunia dan di akhirat," ujar beliau.
Bagaimanapun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.

Tiada ulasan: