14 September 2011

Semak soalan Sejarah PMR, SPM 2011

16 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 14 Sept: Isu sejarah Malaysia yang dipolemik oleh Umno dan BN akhir-akhir ini semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata, kesannya, semakin hari terserlah kepincangan dan putar belit sejarah oleh politikus dan pengampu Umno dan BN.

Katanya, kenyataan berbelit oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap sejarah negara, ditambah dengan dakwaan Majlis ProfesorNegara  dan lain-lain pihak yang didakwa mempunyai autoriti, telah menimbulkan kekabutan dan kekeliruan bukan sahaja dikalangan rakyat, bahkan generasi pelajar sekolah menengah yang diwajibkan mengambil subjek sejarah.

Oleh yang demikian, ujarnya cadangan pembetulan dan pembaikan subjek Sejarah harus disegerakan tanpa kompromi dan campur tangan politik khususnya Umno dan BN.

“Sudahlah ia wajib, subjek sejarah juga menjadi subjek wajib lulus di dalam peperiksaan SPM bermula 2013,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, walaupun yakin soalan subjek serajah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah disiapkan, pihaknya mendesak kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran supaya menyemak soalan yang berkait dengan isu-isu sejarah yang dibangkitkan akhir-akhir ini.

Katanya, antara mekanisme yang boleh dilakukan ialah:

a) Soalan kontroversi ditukar kepada soalan dengan jawapan yang tiada perbezaan pandangan, atau

b) Skema jawapan ditambah bagi soalan kontroversi dengan mengambil kira semua pandangan. Dalam erti kata lain, teori sejarah selain di dalam silibus juga diterima sebagai jawapan yang betul.

c) Jika tidak cukup masa, soalan yang kontroversi dan wujud perbezaan pandangan dibatalkan. Maka, markah yang terbabit tidak dimasukkan di dalam perkiraan markah pelajar

Katanya, kenyataan terbuka itu dibuat kerana ia memberi kesan kepada prestasi pelajar.

Beliau berkata, jika pelajar mendapat A kerana jawapan yang mengikut skema dan silibus, tetapi ia adalah fakta yang salah, ia menafikan ketulenan kefahaman pelajar itu sendiri.

“Jika pelajar berkenaan tidak percaya kepada jawpan di dalam silibus tetapi terpaksa juga demi mendapat A, ia mengajar pelajar bersifat hipokrit yang menafikan sifat amanah yang seharusnya dipupuk dikalangan pelajar,” ujarnya.

Katanya, bbukan sekadar itu, kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi juga dipengaruhi oleh keputusan itu.

“Alangkah malangnya pelajar yang cemerlang dinafikan hak hanya kerana menjawab dengan amanah dan betul. Ia memberi kesan negatif di dalam mencorak masa depan generasi muda negara,” katanya lagi.

Jika tiada tindakan dibuat, ujarnya ini jelas membuktikan sekali lagi Umno dan BN menipu rakyat Malaysia.

Kali ini, tambah beliau pelajar juga ingin diajar hipokrit dan menipu.

Katanya, alangkah bobroknya sifat pemimpin Umno yang hanya mementingkan survival politiknya.

Itu, katanya belum dikira keputusan-keputusan subjek sejarah tahun-tahun sebelum ini yang jelas Umno dan BN telah memperbodohkan rakyat.

“Bagi semua pelajar PMR dan SPM, selamat menghadapi peperiksaan. Jawablah dengan ilmu yang tulen berasaskan kefahaman, jangan tertipu dengan agenda politik Umno. Bebaskan kongkongan sistem pendidikan negara dari unsur politik,” ujarnya.

Tiada ulasan: