09 November 2011

Pemandu cedera ditembak saman polis

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Pemandu teksi yang cedera di kedua-dua kakinya akibat ditembak anggota polis berhampiran Pejabat Pos, Jalan Pudu tahun lalu, menyaman anggota itu kerana cuai menjalankan tugas, serta menuntut ganti rugi.

Yeow Leong Kang memfailkan saman pemula di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Stella, Lim & Co.

Beliau menamakan detektif Lans/Kpl Norhesham Mohd Nor daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Dalam penyataan tuntutannya, Leong Kang mendakwa semasa kejadian, beliau berada di dalam teksinya berhampiran pejabat pos berkenaan kira-kira 4.30 petang pada 23 September 2010, dan Norhesham telah melepaskan tembakan ke arah kakinya tanpa memberikan sebarang amaran, dan anggota berkenaan tidak memberikan sebarang alasan terhadap tindakannya itu.

Leong Kang, 42, berkata, dia telah menjalani rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama tiga hari, dan Norhesham ada melawatnya.

Dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas sebanyak RM14,000, ganti rugi teruk sebanyak RM100,000, ganti rugi teladan RM100,000 serta kos. – Bernama

Tiada ulasan: