09 November 2011

Graduan ISMP tuntut jaminan menteri

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Sekumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak mengahantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ekoran isu lambakan graduan ijazah pendidikan yang 'dianak tiri' dan tidak diserap sebagai guru.

Kumpulan sembilan orang yang mewakili Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) UPSI itu menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Menteri, Datuk Ir Dr. Wee Ka Siong di parlimen hari ini.

Penyerahan itu diketuai jurucakap LMP Mohd Fauzie Mando, koordinator Amirul Afzan dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Afiq Fikri Mislan.

Antara lain memorandum itu menuntut menteri memberi jaminan 'posting' kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mereka juga mahu graduan ISMP diberi keutamaan berbanding Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

"Kenapa orang KPM dan GSTT sahaja diterima tapi kami dianak tiri.

"Sedangkan kami secara langsung diberi latihan orientasi sekolah dan praktikel," kata Fauzie sambil menyifatkan pengajian empat tahun mereka seperti sia-sia.

Selain itu mereka juga mahu kerajaan memberi pengiktirafan lebih kepada graduan pendidikan disamping menghentikan pengambilan guru GSTT.

Pada 3 November lalu, hampir 1,000 mahasiswa universiti itu mengadakan demonstrasi berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengarahkan graduan UPSI "cari kerja lain".

Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan ribuan graduan dan bakal graduan di UPSI dan kampus-kampus lain.

Sementara itu, mereka juga mengadakan bantahan melalui Facebook atas nama GGIM atau Gabungan Graduan ISMP Malaysia.

Menurut mereka, lebih 7,000 graduan pendidikan sekarang ini terpaksa menganggur sejak setahun lalu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: