09 November 2011

Syria minta bantuan Liga Arab

12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BASHAR melambai kepada penduduk Syria selepas solat sunat Aidiladha di Masjid al-Nour, wilayah Raqqa, Syria.

Tuduh Amerika campur tangan sehingga pertumpahan darah berlaku

DAMSYIK: Syria menggesa Liga Arab membantu Damsyik menentang Amerika Syarikat yang dituduh terbabit dalam 'peristiwa berdarah' ketika pembangkang menggesa 'perlindungan antarabangsa' terhadap penduduk awam.

Liga Arab yang cuba untuk melaksanakan pelan tindakan bagi menamatkan penggunaan kekerasan oleh Kerajaan Syria sejak lapan bulan lalu terhadap penunjuk perasaan, menerima permintaan itu menerusi surat Menteri Luar Syria, Walid Muallem.

Pentadbiran Bashar mula berasakan kesan daripada sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. - Jabatan Negara Amerika

Suratnya menuduh ‘Washington terbabit dalam peristiwa berdarah di Syria’ dan meminta Liga Arab dengan 22 anggota itu mengutuk pembabitan asing dan melakukan apa yang perlu untuk mengakhirinya.’

Ia tidak memberi maklumat lain terhadap dakwaan pembabitan Amerika dalam peristiwa berdarah di Syria.

Tetapi, Syria sebelum ini menuduh Duta Amerika ke Damsyik, Robert Ford, mencetuskan keganasan dengan melawat kawasan bantahan sebelum Washington memanggilnya pulang bulan lalu selepas dia menerima ancaman bunuh.

“Dalam surat itu, Syria meminta bantuan Arab untuk menyediakan suasana sesuai bagi melaksanakan perjanjian itu,” kata Walid.
Timbalan Ketua Liga Arab, Ahmed Ben Hilli, berkata Syria menghantar surat menyatakan dengan teliti langkah untuk melaksanakan pelan itu, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Liga Arab menggesa satu mesyuarat tergempar diadakan di Kaherah pada Sabtu ini membincangkan kegagalan Syria melaksanakan pelan tindakan yang menggesa Presiden Bashar al-Assad membuka perbincangan dengan pembangkang dan menarik balik kereta perisai tentera di jalanan.

Jabatan Negara Amerika semalam berkata, pentadbiran Bashar mula berasakan kesan daripada sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. – AFP

Tiada ulasan: