20 Januari 2012

300 pesakit mental dirantai

26 Safar 1433H. [MOD] -

DENPASAR - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Bali mendedahkan seramai 300 pesakit mental diperlakukan seperti haiwan kerana masih dirantai oleh ahli keluarga mereka tanpa rasa belas kasihan.

Institut Kesihatan Mental Suryani turut menggesa pentadbiran wilayah tersebut untuk menggunakan pendekatan lebih berperikemanusiaan terhadap pesakit mental ke­rana kebanyakan daripada mereka tidak mendapat rawatan pada peringkat awal.

Setiausaha pertubuhan itu, Tjokorda Bagus Jaya Lesamana berkata, faktor bajet yang terhad menyebabkan mereka hanya dapat membantu 60 daripada 300 pesakit di seluruh pulau tersebut.

“Kebanyakan pesakit mental itu berumur 20 hingga 45 tahun. Ada juga yang dikurung dalam bilik berhampiran rumah keluarga mereka,” katanya.

Laporan pertubuhan tersebut menunjukkan sekurang-kurangnya 7,000 penduduk di Bali mengalami masalah mental sehingga menyebabkan golongan itu mahu membunuh diri.

“Kami menggesa penubuhan kumpulan sokongan untuk membantu membebaskan pesakit mental ini kerana mereka berhak mendapat layanan lebih baik dengan mendapat bantuan dari ahli keluarga dan ketua masyarakat,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: