20 Januari 2012

Negeri diminta tidak serah tanah kepada FGVH

26 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyeru kerajaan negeri tidak menandatangani perjanjian penyerahan tanah Felda Plantation kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang akan disenaraikan ke Bursa Malaysia April ini.

Melalui perjanjian itu, tanah Felda seluas 360,067 hektar di bawah kuasa kerajaan negeri akan dipajak selama 99 tahun kerana FGVH kekurangan aset bagi membolehkan penyenaraiannya.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, kerajaan negeri yang mempunyai Felda sudah menerima surat perjanjian tersebut untuk ditandatangi.

"Kita dimaklumkan, ketika ini surat telah dihantar kepada kerajaan negeri dan terserah kepada negeri untuk menandatanginya.

"Pajakan tanah ini akan menjejaskan aset peneroka sedangkan Felda terus mendapat keuntungan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semua negeri kecuali Pulau Pinang mempunyai tanah Felda dan Pahang mempunyai tanah Felda paling luas iaitu sebanyak 143,584 hektar.

Sehubungan itu Mazlan berkata, Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan memulakan siri jelajah ke setiap negeri bagi memberikan penerangan mengenai perjanjian tersebut.

Hujung bulan ini, Anak dan GSF akan mendedahkan semua isi kandungan perjanjian tersebut kepada peneroka supaya mereka menyedari bahaya yang menanti jika perjanjian itu diteruskan.

"Bayaran pajakan hanya pada kadar RM251 juta sahaja setahun sedangkan perolehan (Felda) ketika ini sekitar RM2 bilion dan tiada jaminan nilai pajakan boleh dipertahankan jika berlaku kejatuhan harga komoditi," kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu.

Selain turun menemui peneroka, Anak juga akan bertemu dengan menteri besar dan ketua menteri sendiri bagi membincangkan mengenai perjanjian tersebut sebelum ia ditandatangani.

Mengadap Sultan Pahang

Mengulas gesaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar peneroka menyokong penyenaraian FGVH yang dikatakan bertujuan memperluaskan aktiviti perniagaan Felda, Mazlan menyifatkan ia sebagai agenda tersembunyi.

"Kita yakin kerajaan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penyenaraian ini dan peneroka akan menjadi mangsa.

"FGVH sudah banyak gagal dalam pelaburannya di luar negara, tapi masih diberi kepercayaan," katanya.

Beliau berkata, perbincangan sudah dibuat dengan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengadap Sultan Pahang berhubung isu ini.

"Kita akan mengadap Sultan Pahang supaya perjanjian ini sampai ke pengetahuan Tuanku dan langkah pencegahan boleh diambil," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: