24 Januari 2012

Mengenang Syed Mohamad

1 Rabiul Awal 1433H. [MOD] -

"Mu buat gapo sini," sapa mesra Timbalan Perdana Menteri kepada Syed Mohamad Syed Hasan ketika Konvensyen Sejarah anjuran Fakulti Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi berhenti rehat.

"Kan (PAS dan BN) nak buat kerajaan campuran," seloroh Syed Mohamad sambil merapatkan dua jari telunjuknya membuatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan para peserta konvensyen ketawa berderai.

Kisah itu berlaku pada 1996 ketika cakap-cakap berhubung kerajaan campuran PAS dan BN di Kelantan dibincang hangat.

Dan pagi itu, Anwar selepas merasmikan Konvensyen Sejarah tanpa diduga berhenti di hadapan khemah makan minum peserta konvensyen, berjalan di tengah-tengah hadirin dan akhirnya berhenti di hadapan kami bertiga (termasuk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi) yang sedang minum di sudut paling belakang untuk semata-mata bertemu dan berbual ringkas dengan Syed Mohamad.

Kemesraan Anwar dan Syed Mohamad memang memeranjatkan penulis kerana sepanjang berkawan rapat dengannya, Pak Syed (nama popularnya) tidak pernah menceritakan sejarah persahabatannya dengan Anwar.

Keesokan harinya, foto pertemuan Pak Syed dan Anwar itu disiarkan di muka 2 akhbar The Star. Turut berada dalam gambar, Dr Syed Azman, kini Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Adun Batu Burok, yang pada ketika itu masih bergelar pensyarah di Universiti Malaya.

Penulis lari jauh kebelakang. Tak sanggup bergambar dengan pemimpin Umno.

Begitulah secebis kisah Pak Syed, petugas Pejabat Agung PAS yang pergi menghadap Ilahi pada pagi Jumaat, 13 Januari lalu.

Berita pemergiannya penulis terima pada jam 9.30 pagi melalui SMS rakan setugas.

Sepanjang mengenalinya beliau memang seorang yang merendah diri. Walaupun mengenali orang-orang ternama (sama ada pemimpin PAS mahupun Umno), Pak Syed jarang menceritakannya apatah lagi 'menjual' nama itu untuk apa juga tujuan.

Beliau memang 'orang PAS' sejak usia kanak-kanak. Beliau pernah bercerita pengalamannya bertugas mengawal poster-poster pilihan raya PAS daripada disabotaj samseng atau 'pasukan tahan lasak Umno' pada dekad 1960-an. Waktu itu beliau masih di bangku sekolah.

Pada suatu malam, kebetulan tiada seorang pun petugas yang berkawal di pondok pilihan raya PAS di kampungnya. Pak Syed satu-satunya petugas yang bermalam di pondok itu. Tiba-tiba datang segerombolan samseng Umno bersenjata parang pada tengah malam. Dan apabila melihat cuma seorang budak sahaja yang berkawal, kumpulan samseng itu menetak-netak tiang-tiang pondok tersebut. Walaupun ketakutan, Pak Syed yang terpisat-pisat bangun dari tidur tidak lari, malah hanya memerhatikan tingkah laku mereka sehinggalah kumpulan itu berlalu pergi.

Walau apa pun yang dihadapinya, sokongan terhadap PAS tidak pernah luntur. Beliau akhirnya melanjutkan pelajaran ke Indonesia hingga memperolehi sarjana (Drs) dengan biaya Kerajaan PAS Kelantan. Semasa menuntut ilmu di negara jiran, Pak Syed aktif dalam gerakan pelajar.

Nasib tidak menyebelahinya apabila pulang ke tanah air selepas tamat pengajian. Kerajaan negeri bertukar tangan daripada PAS kepada Berjasa-BN pada 1978. Ketika bertemu seorang kakitangan kerajaan negeri untuk memohon pekerjaan, beliau dinasihati untuk mencari kerja lain kerana pengajiannya ditaja kerajaan PAS dan bukannya BN.

Pak Syed akhirnya berhijrah ke Kuala Lumpur. Mengajar di beberapa sekolah swasta termasuk Yayasan Anda yang diasaskan Anwar Ibrahim. Beliau kemudian menjadi petugas PAS secara sukarela. Antara tugas asasinya adalah membawa pemimpin PAS ke mana sahaja dengan kereta buruknya.

Antara yang menjadi penumpang setianya ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjawat Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sebelum bergelar Menteri Besar Kelantan.

Ketika PAS berkuasa semula di Kelantan, Pak Syed pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perdana Resort. Pun begitu, dia tidak menggunakan kedudukannya untuk kepentingan kroni.

"Kalau anta minta diskaun, orang lain pun minta sama. bila pula Perdana Resort nak untung?" katanya pada penulis.

Memang sakit hati, tapi bila difikirkan semula, betul juga kata beliau.

Keistimewaan yang diperolehinya tidak banyak menukar gaya hidup 'simple' Pak Syed. Memang dia cuba menukar kereta buruk Toyota Corona model lamanya dengan kereta lain. Itu pun model Pajero second hand. Dia obses dengan kereta Pajero itu sehingga membelanjakan sedikit wang untuk membeli asesori termasuk 'sport rim'. Tetapi minatnya mula pudar apabila roda hadapan jip Pajero second handnya itu tercabut dekat Temerloh ketika dalam perjalanan balik ke Kelantan!

Pak Syed juga dikenali ramai anggota PAS kerana sering dilantik Setiausaha Panitia Muktamar. Bertahun-tahun dia diamanahkan jawatan itu. Itulah jawatan paling digemarinya. Pernah dia menempah tiga pasang baju Melayu untuk dipakai sepanjang tiga hari muktamar penuh berlangsung.

"Dah dapat kupon makan," tegurnya pada penulis. "Nah ambil, ini untuk hari ni. Besok lain kira," katanya tegas.

Begitulah berdisiplinnya beliau bila memegang amanah. Satu lagi kelebihan Pak Syed adalah sikap tenangnya apabila berhadapan masalah. Dia tidak pernah melatah mahu pun panas baran berhadapan kerenah perwakilan, pemimpin, ahli PAS, peniaga mahupun pengunjung muktamar yang tidak berpuas hati dengan perjalanan muktamar.

"Relekslah...," istilah yang kerap terpacul dari mulutnya.

Minatnya pada buku juga unik. Dia akan memastikan membeli paling kurang sebuah buku sebulan bagi koleksi perpustakaan peribadinya. Timbunan buku akan mudah kelihatan di pejabat dan juga di rumahnya.

Banyak sebenarnya kenangan yang mampu dikutip bersama Syed Mohamad Syed Hasan sepanjang berkawan dengannya ketika bertugas di Pejabat Agung PAS.

Perawakannya yang sederhana, tidak lokek berbelanja, tenang dalam menghadapi kesulitan, taat, siqah dan wala' dalam perjuangan, menghormati pemimpin, juga setia dengan perjuangan hingga ke akhir hayat.

Allahyarham memang seorang petugas biasa PAS. Namanya tidak segagah mana. Namun beliau mampu memberi warna dan makna kepada perjuangan. Semoga rohnya diterima di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Salihin. Alfatihah!

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: