22 Mac 2012

‘Jumpa penduduk Kuantan dulu sebelum jumpa saya’

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, adalah lebih penting berjumpa dengan penduduk Kuantan sebelum bertemu dengan beliau.

Ini, kerana katanya para penduduk di Kuantan yang akan terjejas dan oleh itu menjadi pihak yang mempunyai kepentingan langsung yang perlu pihak Lynas berjumpa dengan mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana perjumpaan dengan Ketua Menteir Pulau Pinang dan bukan penduduk-penduduk yang terjejas boleh menjadi relevan atau penting dalam kontroversi ini,” ujarnya di dalam surat terbuka kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Nick Cutris yang beralamat Level 7, 56 Pitt Street Sydney, NSW 2000, hari ini.

Berikut adalah kandungan surat tersebut yang bertajuk ‘Perjumpaan Dengan Ketua Menteri Pulau Pinang’.

Terima kasih atas jemputan anda untuk bertemu dan membincangkan Loji Bahan-Bahan Maju Lynas di Gebeng, Pahang, yang telah dilanjutkan bagi pihak anda oleh Cik Jacey Lee daripada Ogilvy Public Relationship Worldwide melalui emel pada 5 Mac 2012.

Saya telah memberi maklumbalas melalui media pada 6 Mac 2012, di mana saya telah menyatakan keputusan untuk tidak menerima jemputan anda demi kepentingan penduduk-penduduk Kuantan yang terjejas serta kebimbangan kesihatan dan keselamatan mereka akibat operasi syarikat anda dalam pemprosesan nadir bumi. Kebimbangan penduduk-penduduk mengenai sisa radioaktif atau kesan-kesan daripada loji pemprosesan belum lagi ditangani.

Sebelum bertemu dengan saya, adalah lebih penting jika pihak anda melibatkan penduduk-penduduk Kuantan, kerana merekalah yang akan terjejas dan oleh itu menjadi pihak yang mempunyai kepentingan langsung. Saya tidak tahu bagaimana perjumpaan dengan Ketua Menteir Pulau Pinang dan bukan penduduk-penduduk yang terjejas boleh menjadi relevan atau penting dalam kontroversi ini.

Kedua, penduduk-penduduk Kuantan tidak dapat memahami bagaimana, walaupun pelbagai kebimbangan alam sekitar telah diutarakan, Kerajaan Malaysia boleh memberi pengecualian cukai kepada syarikat anda selama 12 tahun. Tambahan pula isu-isu mengenai tempat simpanan bahan-bahan sisa radioaktif belum lagi diselesaikan.

Sampai hari ini, kita belum lagi diberi kata putus sama ada sisa itu akan disimpan di kawasan tempatan atau dikembalikan kepada Australia. Sepatutnya, daripada mendapat pengecualian cukai atas keuntungan yang diperolehi, Lynas seharusnya membayar cukai yang lebih tinggi atas kepentingan alam sekitar.

Sungguhpun begitu, ia harus ditegaskan bahawa tiada jumlah wang yang boleh menggantikan kesihatan kita dan anak-anak kita. Untuk sebab itu, kegagalan untuk berunding dengan pihak awam sebelum pembinaan loji dan langkah-langkah terdesak Kerajaan Malaysia untuk menutup kebimbangan awam tentang isu-isu keselamatan dan kesihatan adalah amat menyedihkan.

Tidak ada seorang pun yang percaya bahawa Lynas akan menghentikan pemprosesan nadir bumi apabila mereka sudah belanja sebanyak RM700 juta untuk pembinaan loji.

Saya percaya bahawa soalan-soalan di atas harus dijawab terdahulu sebelum apa-apa perbincangan boleh diadakan. Lebih penting sekali, anda harus menjawab secara langsung kepada penduduk-penduduk yang terjejas.

Sebagai seorang warga Australia, sudah tentu anda akan menghargai bahawa proses rundingan umum itu adalah sebahagian daripada demokrasi. Dalam semangat itu, Lynas harus mengumumkan bahawa mereka tidak akan meneruskan loji itu sekiranya mereka tidak dapat memuaskan kebimbangan teknikal dan juga keraguan penduduk-penduduk yang terjejas.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lim Guan Eng,

Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tiada ulasan: