22 Mac 2012

Kapsul angkasa Dragon ke ISS

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEBUAH roket SpaceX Falcon 9 yang membawa kapsul Dragon menjalani ujian di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida pada 1 Mac lalu.

WASHINGTON - Persediaan pelancaran kapsul kapal angkasa komersial, Dragon ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berjalan dengan lancar, kata seorang pegawai kanan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin.

Kapsul itu dijadualkan berlepas pada 30 April depan dari Cape Canaveral, Florida.

Kapal angkasa itu dimiliki oleh sebuah syarikat penerbangan angkasa lepas komersial AS, SpaceX.

"Persiapan turut melibatkan simulasi pelancaran kapal angkasa ini," kata Pengurus Stesen Angkasa NASA, Mike Suffredini pada satu sidang media.

Menurutnya, jika misi itu gagal atau berjaya, ia tidak boleh dianggap sebagai penentu masa depan penerbangan komersial angkasa lepas.

Jurucakap SpaceX, Kirstin Grantham pada satu kenyataan memberitahu, NASA belum memberikan kelulusan muktamad berhubung tarikh pelancaran tersebut.

Mengulas tentang halangan yang dihadapi pasukan pengendali SpaceX, Suffredini berkata, ia turut melibatkan proses berlabuh di ISS yang bergerak mengelilingi orbit.

Menurutnya, pelancaran kapal angkasa Dragon merupakan percubaan pertama daripada sebuah syarikat swasta untuk berlabuh di ISS.

Kapsul itu sepatutnya dilancarkan pada Februari lalu tetapi ia ditangguhkan kerana sebab-sebab teknikal.

Ia dimiliki usahawan Internet, Elon Musk.

Syarikat miliknya itu mencipta sejarah kerana membuat penerbangan sulung ke orbit dengan menggunakan Dragon pada 2010.

SpaceX dan beberapa syarikat lain kini bersaing untuk membina dan mengendalikan kapsul kapal angkasa swasta yang boleh membawa angkasawan dan kargo ke ISS yang mengelilingi orbit pada ketinggian 350 meter dari Bumi.

Syarikat-syarikat itu termasuk Boeing bersaing untuk dipilih bagi menggantikan kapal angkasa NASA yang telah menamatkan operasi penerbangan ke ISS pada tahun lalu. - AGENSI

Tiada ulasan: