22 Mac 2012

Fekah: Kenapa Noh saman kalau nak rampas Selangor

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 22 Mac: Kerajaan Negeri Selangor sedia berhadapan dang saman RM10 juta oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berhubung artikel dalam akhbar rasmi Selangor Kini yang didakwa memfitnah dirinya.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin berkata, dengan saman itu juga kerajaan negeri akan membuat pendedahan lanjut di mahkamah.

"Saya melihat ini tindakan yang tepat kerana ia dibawa ke mahkamah dan kita akan terus membuat pendedahan selebihnya di mahkamah nanti," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima notis saman itu di sini hari ini.

Dalam saman itu, Noh menamakan Mohd Ezli Mashut sebagai defenden pertama, Arfa'eza Abdul Aziz kedua, Najib Hashim ketiga, Risudah Salim keempat dan Faekah Husin sebagai defenden kelima.

Manakala Angkatan Edaran Enterprise dan Kerajaan Negeri Selangor masing-masing dinamakan sebagai defenden keenam dan ketujuh.

Saman tersebut dikeluarkan berhubung artikel akhbar Selangor Kini bertarikh 25 November hingga 2 Disember itu telah menyiarkan artikel bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan’, ‘Noh Omar khianat petani’ dan ‘Noh Omar lesap RM110 juta dan khianati petani’ yang disifatkan beliau sebagai fitnah dan menjatuhkan kredibilitinya sebagai Adun.

Saman tesebut telah difailkan melalui Tetuan Hafarizan Wan & Aisha Mubarak.

Mengulas lanjut, Faekah berkata, tindakan Noh menamakan Kerajaan Selangor sebagai salah satu defenden dalam saman itu, bercanggah dengan hasrat BN khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merampas negeri itu.

Ini kerana, jika Noh mahu menawan Selangor bermakna beliau sedang menyaman kerajaan negeri dia mahu kuasai nanti.

"Jika saya ingin merampas balik Selangor sudah pasti saya tidak akan menyaman kerajaan negeri, tetapi tidak kepada Noh kerana beliau meletakkan kerajaan negeri sebagai defenden ketujuh dalam saman tersebut.

"Saman ini akan kita telitikan dan dalam masa yang sama kita akan memutuskan siapa peguam yang bertindak mewakili kerajaan negeri nanti," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: