22 Mac 2012

Kenapa sampai 240,000 pengundi pos SPR?

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli bahawa jumlah pengundi pos SPR seramai 240,000 orang.

Bagi DPPM, jumlah yang dilaporkan itu terlalu ramai dan cukup untuk memberi impak yang besar dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor mempersoalkan mengapa SPR mendaftarkan seramai 240,000 petugasnya sebagai pengundi pos.

“SPR sepatutnya menghadkan petugasnya sebagai pengundi pos agar tidak mengganggu sebarang keputusan di mana-mana peti undi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini, sudah acap kali undi pos menjadi faktor kemenangan calon dan ia mampu mengubah keputusan pilihanraya.

Baginya, jumlah yang dicatatkan itu belum ditambah dengan pengundi pos yang sedia ada dari kalangan tentera, polis serta pasangan mereka.

Dengan jumlah seramai itu, kata beliau ia akan menambah prejudis rakyat bahawa SPR berniat untuk memastikan kemenangan mudah sebelah pihak seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

“Rakyat mengesyaki modus operandi yang sama akan digunakan pada PRU13 kali ini bagi mengelakkan kekalahan satu pihak yang sedang terdesak,” ujarnya lagi.

Oleh itu, tegasnya DPPM mendesak agar SPR segera mengurangkan jumlah petugas SPR sebagai pengundi pos bagi mengelakkan berlakunya pertikaian rakyat.

“DPPM mengingatkan SPR agar berlaku telus dan bersikap adil dalam mengendalikan PRU ke 13.

“Rakyat tidak bersedia untuk ditipu buat sekian kalinya dalam sistem pilihan raya di negara ini,” jelasnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: