22 Mac 2012

Hutang negara: Nak bankrap masih kata 'tidak apa'!

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Kerajaan harus bertindak dari sekarang bagi mengurangkan hutang negara dan mengelakkan negara daripada bankrap.

Pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakob berkata, adalah tidak wajar kerajaan mengambil sikap 'tidak apa' walaupun hutang negara hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Malaysia mencatatkan 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu dua peratus sebelum mencecah had 55 peratus daripada KDNK.

"Satu perkara yang tidak sihat apabila kerajaan menganggap kadar hutang negara belum berada pada tahap kritikal walaupun cuma kurang dua peratus daripada had yang ditetapkan.

"Sedangkan Malaysia mengalami sejak 10 tahun yang lepas. Kalau perbelanjaan terus defisit, hutang negara akan terus bearada pada tahap bahaya," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin semalam bahawa Hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Dr Rosli juga berkata, kerajaan harus menentukan piawaian yang selamat bagi hutang negara iaitu ia tidak harus melebihi 30 hingga 35 peratus dariapda KDNK.

"Negara-negara maju yang berhemah dalam perbelanjaan tidak akan membenarkan hutang negara melebihi 30 hingga 35 peratus.

"Contohnya negara Jerman, Norway, Sweeden, mereka mengamalkan urusan ekonomi yang bagus menyebabkan hutang negara tidak pernah melebihi paras ini," katanya yang juga bekas pegawai Bank Negara.

Justeru, untuk memastikan hutang negara tidak terus meningkat, kerajaan harus mula mengawal perbelanjaan negara dan mengelakkan pemborosan.

Ia katanya termasuk tidak meneruskan projek-projek mega dan projek gajah putih yang tidak memberi manfaat kepada negara.

"Kerajaan juga harus melaksanakan tender terbuka dalam setiap projek yang dibangunkan bagi langkah penjimatan dan apa yang lebih mustahak, elakkan terus membuat pinjaman luar negeri," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: