22 Mac 2012

Seorang Maut, Dua Cedera Kereta Langgar Pokok Di Lebuh Raya

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas lalu melanggar pokok jati di KM66.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah ke selatan, dekat Pendang, Rabu.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi ini menyebabkan mangsa Mohd Aizat Jamal, 20, yang memandu kereta Perodua Kancil maut di tempat kejadian akibat terpelanting keluar dari kereta dan terhumban ke dalam parit berhampiran dengan tempat kejadian.

Sementara itu, dua rakan mangsa Nor Shuhada Mohamad, 22, dan Mohd Hazwan Hamzah, 19, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

"Mayat mangsa yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dihantar ke HSB untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga," kata Abdul Aziz ketika dihubungi di sini, Rabu.

Abdul Aziz berkata dalam kejadian kemalangan berasingan kira-kira 12 tengah malam tadi, seorang anggota tentera maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan di Kampung Bukit Choras, Pendang.

Mohd Fikri Ahmad, 25, yang cedera parah maut di tempat kejadian, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: