22 Mac 2012

Usul radiasi Bukit Merah dibahas petang ini

29 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Dewan Rakyat pagi ini meluluskan usul tergempar bagi membahaskan dakwaan masih terdapat radiasi berlebihan di sekeliling tapak bekas loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah dan tapak pelupusan sisa kekal di Bukit Kledang, di Ipoh.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menetapkan usul tersebut akan dibahaskan sejam bermula jam 4.30 petang ini.

Menurut Pandikar, usul berkenaan diluluskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat di mana ia perlu disegerakan.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan semalam ekoran laporan bacaan daripada kumpulan anti-Lynas Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) yang didapati bercanggah dengan angka yang dibekalkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Dalam ususlnya semalam, Fong berkata, usulnya itu bersifat khusus, mempunyai kepentingan awam dan perlu digerakan kerana ia melibatkan kehidupan sekurang-kurangnya 10,000 penduduk.

Sabtu lalu, SMSL iaitu aktivis anti-Lynas melawat ke tapak bekas loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah.

Biarpun sudah ditutup pada tahun 1992, namun bacaan tahap radiasi yang diperolehi oleh pihak SMSL di kawasan tersebut didapati masih pada tahap berbahaya.

Bacaan berhampiran tapak kilang adalah sekitar 0.19 microsievert setiap jam manakala bacaan berhampiran tapak pelupusan sisa pula berjumlah kira-kira 0.2 microsievert bagi setiap jam.

Menurut mereka, kedua-dua bacaan, jika dihitungkan kepada bacaan asas tahunan, adalah di luar tahap selamat iaitu pada 1 milisievert setiap tahun seperti yang dinasihatkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

harakahdaily/-

Tiada ulasan: