09 Julai 2012

Amanah sedia anjur debat PAS-Umno Terengganu

19 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) menyatakan kesediaan menjadi orang tengah bagi menganjurkan satu debat atau dialog terbuka di antara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Koordinator negeri Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Ahmad Shah berkata banyak isu-isu mengenai negeri Terengganu tidak dijawab oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) antaranya isu royalti petroleum dan isu bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh dua tahun lalu.

(Gambar: Raja Kamarul Bahrin pada sidang media, semalam).

Menurutnya, debat di antara kedua pihak pembangkang dan kerajaan adalah medan yang terbaik bagi rakyat mengetahui penjelasan dari kedua-dua belah pihak tentang isu terbabit.

Katanya debat atau dialog merupakan ciri-ciri demokrasi yang sihat di mana Malaysia sebagai negara yang semakin matang patut mendokong perbahasan dan kebebasan bersuara.

“Tuan Haji Wahid telah meminta Datuk Seri Ahmad Said (untuk) berdebat atau dialog terbuka sepaya isu semasa dapat dibincangkan dan diberi penjelasan di khalayak supaya orang ramai lebih memahami isu yang menjad kemusykilan.

“Ini adalah salah satu ciri demokrasi yang sihat, Malaysia negara yang bertambah matang patut mendukunginya (dengan) kebebasan untuk bercakap (dan) kebebasan melapor oleh pihak media apa jua yang berlaku,” ujarnya.

Menurut beliau, antaranya isu penting yang boleh dibincangkan dalam debat tersebut adalah royalti dan hasil petroleum kepada negeri Terengganu dan isu bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh dua tahun lalu.

Katanya, baru-baru ini tuntutan mahkamah ke atas lima peratus hasil royalti minyak yang buat oleh kerajaan Terengganu telah ditarik balik dan menimbulkan persoalan dari orang ramai.

“Tuntutan mahkamah yang dibuat untuk menuntut balik 5% royalti minyak telah ditarik balik, ini kembali kepada persoalan wang ehsan, jadi apakah bahagian (share) pendapatan Terengganu kalau kita bergantung dengan ehsan,

“Ini merupakan pertanyaan rakyat Terengganu, apakah sumbangan (hasil) kepada rakyat Terengganu kalau kita tidak menetapkan peratus (bahagian hasil) Terenganu dalam perjanjian,” soalnya.

Beliau berkata dalam belanjawan 2012, kerajaan negeri telah meletakkan pendapatan negeri sebanyak 95% adalah dari sumber minyak dan gas.

Oleh itu, katanya, sekiranya kerajaan hanya mengharapkan kepada ‘wang ehsan’ bagaimanakah belanjawan tersebut akan dikendalikan.

Selain dari isu royalti, Raja Datuk Kamarul Bahrin berkata, rakyat bertanya tentang isu bumbung stadium yang runtuh yang hanya dibersihkan tetapi belum diperbaiki.

“Rakyat bertanya-tanya apakah masa depan, apakah nasib stadium ini? Kalau dah begitu lama bumbungnya runtuh, telah dibersihkan tetapi bilakah stadium itu dapat digunakan semula.

“Ini juga merupakan isu yang berlarutan (dan) tidak ada pendekatan yang lebih positif untuk memberi kefahaman yang sebaik mungkin kepada rakyat,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Ahad 8 Julai.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM300 juta namun masih bergantung kepada stadium lama yang hanya mempunyai kapasiti sebanyak 20,000 orang.

Peningkatan sukan bolasepak negeri Terengganu adalah baik, namun kata beliau, adalah sayang kerana stadium baru tidak dapat digunakan.

Katanya, hasil kajian juruperunding bebas yang menyiasat kejadian stadium runtuh telah menyatakan semua pihak bersalah, tetapi tidak ada satu pihak pun yang benar-benar bersalah.

Selain, isu-isu terbabit menurutnya, pihak pembangkang dan kerajaan juga boleh menggunakan medan debat tersebut sebagai wadah untuk membentangkan manifesto masing-masing untuk dinilai oleh rakyat pada saat hampir kepada piliharaya umum.

Justeru, beliau berkata Amanah akan menghantar surat jemputan kepada Datuk Seri Ahmad Said dan Mohd Abdul Wahid Endut dan berharap kedua-dua pihak terbuka menerima pelawaan itu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: