24 September 2012

PAS sokong Himpunan Hijau Lestari Pengerang

8 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: PAS Johor menegaskan tidak terlibat dengan penganjuran Himpunan Hijau Lestari Pengerang yang akan diadakan pada 30 September ini sebaliknya ia digerakkan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang membantah projek Lynas tempoh hari.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Muhammad, berkata pimpinan parti-parti politik khususnya PAS tidak akan terlibat secara langsung dengan himpunan tersebut yang akan diadakan di Dataran Sungai Rengit Pengerang, hujung bulan ini.

Bagaimana pun menurut beliau pada sidang media kelmarin (gambar), PAS dan Pakatan Rakyat memberi sokongan padu di atas usaha tersebut kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat untuk jangka panjang.

Himpunan yang amat besar ertinya bagi seluruh rakyat di Pengerang yang terlibat dengan Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) ini akan ditangani oleh gabungan NGO dari seluruh negara.

Menurut Dr Mahfodz, himpunan itu memang wajar diadakan memandangkan pembangunan projek itu telah menimbulkan berbagai konflik dan tanda tanya yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat khususnya penduduk Pengerang.

“Projek Rapid ini melibatkan 22,500 ekar tanah serta kira-kira 28,000 penduduk dari 17 perkampungan nelayan dan tradisi di kawasan perairan Pengerang,” katanya.

Kata beliau, sekiranya projek yang bernilai RM68 bilion ini diteruskan juga maka berbagai kemudahan awam termasuk warisan sejarah akan musnah antaranya, enam masjid, surau (11), sekolah kebangsaan (5), sekolah agama (5), sekolah jenis kebangsaan Cina (3) serta 3 rumah kakitangan kerajaan.

Turut musnah ditelan projek mega yang bakal dibangunkan itu 3 klinik desa, balai polis (2), perkuburan islam (11), jirat cina (7) serta 9 balai raya.

“Apa yang menimbulkan persoalan serta bantahan penduduk sekarang ini adalah isu membabitkan masa depan rakyat yang masih tidak jelas,  rakyat pada hakikatnya tidak menolak pembangunan ini tetapi biarlah pembangunan yang hendak dilaksanakan ini seimbang serta mengambilkira pandangan serta kepentingan nasib dan juga masa depan rakyat bukan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan mudah dengan memangsakan rakyat dengan sewenang-wenangnya,” tegas beliau.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: