8 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Kami dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan para
mahasiswa di seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan
perwakilan pelajar atau Pilihan Raya Kampus (PRK) yang telus dan bersih
sempena PRK yang bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh
Malaysia pada 25 September ini.
PRK adalah merupakan suatu wahana kemasyarakatan dalam konteks alam
kampus yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran
tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang
bertanggungjawab dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui
proses demokrasi.
Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan
percubaan oleh sama ada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahupun
pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’.
Perbuatan ini seumpama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang
sepatutnya bersikap adil dalam mengendalikan pilihanraya dan memberi
kebebasan hak kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka, TETAPI
mereka telah merancang suatu usaha untuk memenangkan calon tertentu.
Sekiranya pihak berkenaan telah merancang untuk memenangkan calon
tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan
pendanaan (sponsorship), maka apalah ertinya dan perlunya
sebuah pilihanraya diadakan? Campurtangan seperti ini adalah merupakan
suatu perbuatan yang biadap dan terkutuk.
Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas
demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan
penghinaan terhadap universiti.
Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka
terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan adalah wajar mereka
segera bertaubat dan berundur daripada terus memegang posisi penting
dalam kementerian atau universiti.
Oleh yang demikian, kami menyeru kepada para mahasiswa untuk memilih
calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus
masing-masing. Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu
berdikari, berpegang kepada prinsip, jujur, amanah dan berpekerti
mulia. Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon-calon yang bukan
sahaja mempunyai kemampuan untuk menunaikan manifesto yang diumumkan,
tetapi juga mestilah yang mampu menjadi uswah dan qudwah kepada warga universiti.
Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah atau akan
bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip
asas demokrasi dalam PRK kali ini.
Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah,
kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan politik
mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berkomuniti
dalam kampus.
Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang
kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena
politik. Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat adalah sangat
penting demi memastikan para mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin
negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.
Sekian. Terima kasih.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Ma’ruf Club UIAM (MC)
We Unite For Islam (WUFI)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan