05 Oktober 2012

Bimbang debu jejas kesihatan

19 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

 Tuan Ibrahim Tuan Man
 
Azman (kanan) menyerahkan memorandum bantahan kepada Tuan Ibrahim untuk disampaikan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, kelmarin.
 
KUANTAN – “Saya  tidak tahan lagi, setiap hari kami terpaksa menghidu udara yang berdebu. Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang akan menjejaskan kesihatan penduduk,” kata seorang penduduk Kampung Selamat, Pelabuhan, Abu Bakar Mamat, 52.

Katanya, sebelum ini, penduduk di kawasan itu sudah beberapa kali membuat aduan tentang kuari berdekatan kampung mereka, namun hingga kini masih belum ada tanda-tanda penyelesaian.

Tambahnya, lebih memburukkan keadaan, kawasan perumahan itu juga turut dicemari dengan longgokan bijih besi oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab.

“Saya kesal kerana hingga kini belum ada penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Malah, penduduk di sini terpaksa menanggung akibatnya dengan meletakkan diri dalam persekitaran ‘tidak sihat’,” katanya yang ditemui ketika Lawatan Dewan Harian Pas, kelmarin.

Hadir sama lawatan itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Berserah, Syed Mohammed Tuan Lonnik.

Katanya, setiap hari, puluhan lori berulang-alik ke kawasan kuari dan tempat simpanan bijih besi menyebabkan jalan utama masuk ke kawasan itu rosak.

“Jika hari hujan, saya tidak akan melalui jalan itu sebaliknya menggunakan jalan belakang bagi mengelakkan kereta mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

“Bukan itu sahaja, kami juga jarang membuka tingkap rumah kerana bimbang debu dan habuk kotor masuk. Keadaan ini benar-benar membuatkan kami tidak selesa,” katanya.

Manakala bagi Azman Ali, 43, aktiviti tidak bertanggungjawab itu turut menyebabkan penduduk terpaksa berdepan dengan masalah banjir lumpur sekiranya hujan lebat.

“Bila hari panas, kami berdepan dengan masalah debu. Bila hari hujan pula, kami ‘dibanjiri’ lumpur. Pendek kata, panas salah, hujan pun salah.

“Justeru, saya harap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Kami sudah lama tinggal di sini, malah ada di antara penduduk yang memang lahir dari kampung ini. Kalau boleh kami tidak mahu tinggalkan tempat ini,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tampil membuat lawatan selepas menerima aduan daripada penduduk berikutan masalah itu.

“Projek kuari sepatutnya tidak boleh dijalankan di kawasan penempatan penduduk kerana ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk. Bagaimanapun, saya akan cuba merujuk perkara ini kepada Setiausaha Sulit Sultan Pahang bagi mendapatkan penyelesaian.

“Kita tidak boleh biarkan penduduk terus hidup dalam keadaan tidak selesa serta terdedah dengan bahaya,” katanya.

SINAR HARIAN/-

 

Tiada ulasan: