17 Oktober 2012

Malaysia juga perlu main peranan bantu Myanmar

1 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Malaysia juga proaktif membantu mencari penyelesaian damai bukan sahaja di Filipina malah di negara-negara bergolak lain.

Katanya, ia termasuk penyelesaian damai terhadap konflik kaum Rohingya di Myanmar dan umat Islam di selatan Thailand.

"Kita mengahrapkan masalah di negeri lain seperti Myanmar terhadap kaum Rohingya dan suku kaum lain di Myanmar yang mengalami krisis dan berkonflik yang sudah lama, menelan korban yang ramai, diselesaikan secara aman dan adil.

"Itu harapan kita, sama juga di Thailand," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen semalam.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh berperanan dalam membantu masalah di Filipina maka ia bukan masalah untuk mengambil pendekatan sama terhadap penyelesaian umat Islam di Myanmar yang terlibat dalam persengketaan konflik untuk diselesaikan secara aman.

Beliau berkata demikian mengulas perjanjian damai yang dimeterai antara Kerajaan Filipina dan MILF bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan negara itu kelmarin.

PAS dan Pakatan Rakyat ujarnya, menyambut baik usaha perjanjian damai itu demi keharmonian masyarakat di negara itu.

“Semoga semua perjanjian yang ditandatangani itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau lagi, PAS bersedia untuk bekerjasama memberi penglibatan jika dibenarkan terbabit dalam usaha damai itu.

harakah/-

Tiada ulasan: