1 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Saya
telah menerima jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada beberapa perkara yang saya telah
bangkitkan tentang rasuah dalam ucapan Belanjawan 2013 di Parlimen 4
Oktober 2012 lalu, yang mana beliau tidak mempunyai masa untuk menjawab
ketika penggulungan beliau.
Dalam ucapan saya, saya telah meminta Perdana Menteri untuk
mengemaskini kepada Parlimen dan negara apakah tindakan yang telah
diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan
dengan pelbagai laporan polis ke atas “trio” Ketua Menteri Sarawak Tan
Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Peguam
Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Saya telah bertanya secara terperinci apakah hasil daripada laporan
polis berkenaan pertuduhan rasuah ke atas Peguam Negara terutamanya
melibatkan buku terbaru peguam Zainal Abidin Ahmad bertajuk “Tan Sri
Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah?”?
Ini adalah jawapan bertulis Nazri:
“Yang Berhormat Ipoh Timur ingin mengetahui tindakan terhadap dakwaan
rasuah oleh Peguam Negara Malaysia sebagaimana dalam buku tulisan
Zainal Abidin Ahmad yang bertajuk ‘Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu,
Penipu, Penjenayah’. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buku yang
ditulis oleh Zainal Abidin Ahmad mengenai dakwaan rasuah terhadap Peguam
Negara yang bertajuk ‘Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu, Penipu,
Penjenayah’ masih dalam siasatan pihak polis.”
Berkenaan laporan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak, jawapan bertulis Nazri menyatakan:
“Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Bandar Kuching, Yang
Berhormat Sibu, Yang Berhormat Puchong dan Yang Berhormat Serdang ingin
mengetahui hasil siasatan tuduhan rasuah yang melibatkan YAB Ketua
Menteri Sarawak. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, isu ini masih
dalam siasatan SPRM. Siasatan kes-kes rasuah yang dibuat oleh SPRM
adalah berlandaskan undang-undang dan memerlukan beban pembuktian yang
cukup kukuh sehingga mencapai tahap (dengan izin) beyond reasonable doubt.
Ini kerana penyiasatan sesuatu kes itu menjurus kepada intipati
kesalahan yang melibatkan keterangan saksi, dokumen dan bukti-bukti lain
yang mampu menyokong kes berkenaan.”
Dalam ucapan saya, telah saya katakan walaupun membanteras rasuah
adalah salah satu keutamaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)
bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) Najib, rasuah di Malaysia telah
bertambah buruk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini seperti yang
dikesan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.
Saya katakan saya bersetuju sepenuhnya dengan bekas anggota panel
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang
menyatakan bahawa persidangan antarabangsa perangi rasuah di Kuala
Lumpur hari ini adalah membuang masa dan hanya acara untuk kerajaan
Malaysia berpura-pura serius membanteras rasuah.
Ini respon Nazri dalam jawapan bertulisnya:
Yang Berhormat Ipoh Timur membangkitkan isu berkenaan kejatuhan
negara dalam skor Corruption Perception Indeks (CPI). Untuk makluman
Ahli Yang Berhormat, bebanan pencapaian skor CPI tidak boleh diletakkan
dibahu Kerajaan semata-mata dan kerjasama daripada semua pihak adalah
sangat perlu agar tanggungjawab membanteras rasuah digembleng bersama di
antara sektor Kerajaan, sektor swasta, masyarakat usahawan, NGO,
parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya bagi mencapai matlamat
Pelan Transformasi Kerajaan ke arah menjadikan negara kita bebas rasuah.
Yang Berhormat Ipoh Timur mendakwa penganjuran 6th IAACA Annual Conference and General Meeting adalah membuang masa. Pandangan bahawa penganjuran 6th
IAACA Annual Conference and General Meeting yang berlangsung di Kuala
Lumpur Convention Centre (KLCC) adalah membuang masa dan tidak
mencerminkan indeks persepsi rasuah negara adalah menunjukkan bahawa
Yang Berhormat Ipoh Timur mempunyai pandangan yang cetek. Kerajaan
berpandangan bahawa penganjuran ini boleh membawa impak yang besar
kepada negara dari segi kerjasama antarabangsa dalam usaha pembanterasan
rasuah. Ini kerana rasuah sebagai jenayah yang juga merentasi sempadan
memerlukan kerjasama antarabangsa bagi membendungnya.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, IAACA secara rasmi telah
ditubuhkan pada 22 Oktober 2006 di Beijing, China bertujuan membantu
negara-negara ahli bagi memenuhi ketetapan dalam United Nations
Convention Against Corruption (UNCAC). Persidangan pada tahun ini
menekankan Artikel 6 UNCAC iaitu ‘Technical Assistance and Information
Exchange’ sebagai tema. IAACA mempunyai lebih daripada 300 ahli
organisasi yang meliputi hampir semua agensi pengkuatkuasaan
undang-undang memerangi rasuah dan melibatkan lebih daripada 2,000
ahli-ahli individu dari 18 buah negara termasuk pendakwa, penyiasat dan
pakar-pakar yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan anti-rasuah.
Keputusan yang berjaya dicapai dalam persidangan-persidangan
lepas termasuklah menghasilkan dua deklarasi penting iaitu mengenai
kerjasama antarabangsa menentang rasuah dan pencegahan rasuah.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan