17 Oktober 2012

Penemuan mengejutkan Laporan Audit Negara 2011 untuk N.Sembilan

1 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Antara beberapa penemuan yang mengejutkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang baru dikeluarkan ialah: Perbelanjaan tahunan untuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah menurun ke RM 5.63 juta untuk tahun 2011 berbanding RM 7.15 juta pada tahun 2010.

Hasil cukai tanah telah menurun ke RM 112.51 juta untuk tahun 2011 berbanding RM 114.03 juta pada tahun 2010.

Penjualan saham yang begitu banyak. Pada akhir tahun 2011, pelaburan saham Kerajaan Negeri dalam Penyata Kedudukan Kewangan berjumlah RM0.59 juta. Ini merupakan penurunan sebanyak 97.5% ekoran 3 daripada 4 saham Kerajaan Negeri iaitu saham Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Malaysia Airport Holdings dengan nilai pokok RM22.91 juta telah dijual dalam tahun 2011.

Terdapat 33 unit rumah Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) yang masih kosong semenjak tahun 2005. Tunggakan sewa Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) semakin meningkat pada tahun 2011 berbanding tahun 2009 dan 2010 iaitu sebanyak 25.4% berbanding kutipan sepatutnya. Terdapat rumah Rumah Awam Harga Rendah (RAHR yang belum dikeluarkan hak milik walaupun pembeli telah selesai bayaran sewa beli antara 1 hingga 7 tahun.


Tunggakan sewa premis Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mencapai 25.0% daripada jumlah hasil sewa yang sepatutnya diterima. Empat projek usaha sama yang ditandatangani oleh MAINS di antara tahun 2000 hingga 2002 dengan syarikat pemaju telah mengambil masa yang lama selepas tempoh perjanjian untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan kerana pelbagai masalah. Satu daripada projek usaha sama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) masih belum bermula walaupun perjanjian telah ditandatangani pada tahun 2002 dan menyebabkan baki pulangan kepada MAINS sejumlah RM7.9 juta masih tertangguh.

Program Pembangunan Industri Lembu Dan Kerbau di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan kerana sejumlah 254 (77.4%) perjanjian Skim PINTAF dan 27 (26.7%) perjanjian Skim TRUST masih belum disediakan walaupun bantuan ternakan telah diagihkan.

Pejabat Daerah Dan Tanah Rembau dan Kuala Pilah. Antara kelemahan yang diperhatikan ialah:

1. Terdapat pembinaan kemudahan awam dalam kawasan tanah milik tanpa dokumen kebenaran daripada pemilik.

2. Tiada penyenggaraan kemudahan awam secara berkala.

3. Daftar inventori kemudahan awam di mukim luar bandar tidak diselenggarakan bagi tujuan rujukan untuk penyenggaraan dan baik pulih.

YNS Management Sdn. Bhd. (YNSM) merupakan sebuah syarikat milik penuh Yayasan Negeri Sembilan (Yayasan) dengan modal saham diterbitkan dan modal berbayar berjumlah RM0.50 juta.

YNSM masih mempunyai kerugian terkumpul yang agak tinggi iaitu sebanyak RM0.43 juta pada tahun 2010 berbanding modal berbayar RM0.50 juta. Kelemahan yang ditemui adalah seperti berikut:

1. Pengurusan aktiviti YNSM tidak memuaskan kerana aktivitinya semakin berkurangan.

2. Tiada pertambahan kontrak baru dan tiada penetapan kadar harga bagi aktiviti khidmat pembersihan yang merupakan aktiviti utama syarikat.

3. Tadbir urus korporat berkaitan pematuhan YNSM kepada Pekeliling Perbendaharaan mengenai tatacara pembayaran bonus serta kekerapan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah adalah kurang memuaskan.

PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI, NEGERI SEMBILAN - Negeri Roadstone Sdn. Bhd.

Terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki seperti berikut:

1. Berlaku kelewatan kutipan hasil jualan batu-batan daripada pelanggan antara 7 hingga 58 bulan.

2. Tiada pemantauan Unit Audit Dalam dan Jawatankuasa Audit

3. Pembayaran bonus tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

MAJLIS PERBANDARAN SEREMBAN Terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan program ini seperti berikut:

1. Sejumlah 79.6% bilangan kompaun di bawah Undang-undang Kecil Taman bagi tempoh 2009 hingga 2011 masih tertunggak.

2. Undang-undang Kecil Vandalisme sukar dilaksanakan menyebabkan meningkatnya kejadian vandalisme terhadap landskap yang dibangunkan.

PERBADANAN KEMAJUAN NEGERI, NEGERI SEMBILAN

1. Empat lot tanah masih belum dimajukan, 3 daripadanya telah dimiliki PKNNS melebihi 20 tahun menyebabkan PKNNS telah menanggung bayaran cukai sejumlah RM0.33 juta tanpa sebarang hasil.

2. Tanah milik masih dalam kaveat pihak ketiga telah tertangguh pembangunannya sedangkan sejumlah RM91,368 perlu dibelanjakan untuk cukai tanah dan cukai pintu setiap tahun.

3. Pulangan projek sejumlah RM1.99 juta masih belum diperoleh akibat projek terbengkalai yang mana sepatutnya disiapkan pada bulan Mei 2007.

harakah/-

Tiada ulasan: