17 Oktober 2012

Teras, Salimah sokong iklan wanita tutup aurat

1 Zulhijjah 1433H. [MOD]-
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Negeri Kedah menyokong penuh keputusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang menetapkan peraturan pakaian model wanita yang menutup aurat dan berpakaian sopan dalam pengiklanan di bandaraya tersebut.

Demikian dinyatakan Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Salimah Negeri Kedah, Rubiyah Haron dalam kenyataan bersama.

Kata mereka, peraturan untuk menetapkan garis panduan mengenai penggunaan model wanita dalam iklan khusus untuk orang Melayu Islam dan umumnya untuk kaum lain adalah munasabah dan sangat dituntut dalam hukum syariat.

Kenyataan penuh mereka sebagaimana di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Pengerusi Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Negeri Kedah menyokong penuh keputusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang menetapkan peraturan pakaian model wanita yang menutup aurat dan berpakaian sopan dalam pengiklanan di bandaraya tersebut.

Peraturan untuk menetapkan garis panduan mengenai penggunaan model wanita dalam iklan khusus untuk orang Melayu Islam dan umumnya untuk kaum lain adalah munasabah dan sangat dituntut dalam hukum syariat.

Kami melihat ia bukan suatu yang tidak rasional kerana semua kaum di Malaysia harus menghargai etika dan kehormatan wanita bila menggunakan model wanita dalam iklan seperti dipapan iklan.

Teras dan Salimah tidak nampak kenapa ia harus ditentang kerana ini merupakan suatu yang memberi kesan kepada maruah kaum wanita. Wanita tidak harus menjadi alat yang merendahkan maruah diri dalam industri iklan.

Apakah hanya kerana ia dituntut oleh Islam untuk dikenakan ke atas orang Melayu Islam pihak DAP Kedah tidak bersetuju dengan peraturan  tersebut?

Pihak DAP Kedah perlu faham bahawa mengenakan peraturan wanita yang sesuai dengan kehendak Islam adalah kewajipan agama yang tidak ada kena mengena dengan politik.

Peraturan itu yang juga menetapkan penggunaan model wanita bukan Islam dalam iklan hendaklah mengguna pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata juga sesuai dan perlu.

Kami yakin semua kaum dan agama menghormati kemulian wanita yang tidak harus dihina dan dieksploitasi hanya kerana mahu melariskan penjualan barangan.

Kami percaya bahaya menjadikan tubuh wanita untuk tujuan komersil adalah bertentangan dengan rukun negara yang disepakati semua iaitu kesopanan dan ketatasusilaan.

Kami menegaskan bahawa ketetapan untuk menguatkuasakan peraturan itu hendaklah dilaksanakan tanpa lengah.

Malah contoh peraturan yang ada di negeri Kelantan dan tidak ditentang oleh mana-mana pihak dari kalangan kaum lain yang bukan Islam sepatutnya di contohi dan diambil pengajaran oleh DAP Kedah.

Kami menggesa agar hak kaum Muslimin untuk menetapkan peraturan yang sesuai dengan tuntutan syariat untuk orang Islam sendiri jangan diganggu oleh kepentingan politik.

Kami juga menuntut supaya maruah wanita hendaklah dipertahankan demi memelihara kemulian mereka. Desakan pasaran untuk mengkomersilkan tubuh wanita adalah suatu penghinaan yang tidak boleh dikompromi.

harakah/-

Tiada ulasan: