20 Disember 2012

Himpunan 1 Juta Rakyat, 12 Jan di Stadium Merdeka

6 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) secara rasmi mengumumkan, Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan akan diadakan di Stadium Merdeka.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Mohamad Sabu berkata, ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

Saranan tersebut dibuat Najib sebelum Gabungan Menuntut Pilihan Raya  Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan pada 28 April lalu.

"Kita mohon (adakan perhimpunan) dibuat di  Stadium Merdeka kerana itulah cadangan Perdana Menteri  yang kita sayangi," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, permohonan menggunakan stadium dibuat atas nama Sasterawan Negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Sasterawan Negara yang dimaksudkan.

"Permohonan stadium atas nama Sasterawan Negara yang terkenal," katanya.
Ujar Mohamad juga, perhimpunan dengan empat warna tema iaitu kuning, hijau, oren dan merah akan bermula jam dua petang dan dijangka akan berakhir jam lima petang tanpa sebarang kekecohan.

"Saya yakin melalui himpunan-himpunan sebelum ini, akan berlaku kerjasama yang baik di semua jabatan termasuk pihak polis untuk menjaga keamanan.

"Kita akan berhimpun tanpa menyerahkan apa-apa memorandum kerana memorandum lapan tuntutan Bersih sudah diserahkan dalam perhimpunan sebelum ini," katanya.

Warna kuning mewakili Bersih, Merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, Hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Anak Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Antara NGO lain yang akan turut serta dalam perhimpunan ialah  Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sekretariat Prihatin OKU, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beberapa NGO lain.

Dalam sidang media sama, wakil-wakil NGO turut menyatakan komitmen menggerakkan seramai mungkin anggota ke himpunan tersebut.

"Mana-mana individu yang tak sertai mana-mana NGO pun mesti hadir bagi menyatakan kemarahan secara aman," kata Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamuddin Rais.

harakah/-

Tiada ulasan: