20 Disember 2012

Seksa hidup bau busuk

6 Safar 1433H. [MOD] -

Seksa hidup bau busuk

Penguat kuasa PPSPPA, Veran Murugan menunjukkan lokasi sampah haram yang dibersihkan dan dipasang tali bagi menghalang pembuangan sampah haram.
 
PEKAN - Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) cawangan Pekan menyarankan penduduk sekitar daerah ini agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran.

Pengurusnya, Alex Robert Anak Murat@Imsul berkata, penduduk harus membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan bukan di tempat awam seperti sebelah tapak pasar Peramu Jaya 3 yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, PPSPPA peka dengan masalah pembuangan sampah haram di beberapa lokasi melalui aduan orang ramai malah mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

“Pihak kami berharap agar mereka yang tidak bertanggungjawab ini berhenti membuang sampah di lokasi itu dan memikirkan kepentingan orang awam berikutan terpaksa berdepan dengan masalah bau busuk yang meloyakan dan pemandangan menyakitkan mata.

“Pihak tidak bertanggungjawab ini juga dinasihatkan supaya membuang sampah di lokasi yang betul agar tidak menyusahkan pihak lain untuk membersihkan sampah di lokasi haram ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan sampah haram penduduk dan peniaga di perumahan Peramu Jaya 3.

Mengulas mengenai tindakan lanjut, Alex meminta agar peniaga pasar tani setiap Isnin dan pasar malam pada Jumaat membersihkan kawasan mereka
secara serta merta selepas selesai berniaga.

Alex Robert turut mendedahkan beberapa lokasi pembuangan sampah bersebelahan dengan laluan utama Pekan–Kuantan yang secara langsung menjatuhkan imej Pekan.

“PPSPPA amat berharap agar penduduk sekitar daerah ini bersama menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kesedaran mengenai aspek kebersihan dapat ditingkatkan dari masa ke masa,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: