Singapura: Seorang pengurus kejuruteraan mendakwa sesi bekam Cina
yang tidak dilakukan dengan sempurna oleh pakar terapi menyebabkan dia
melecur teruk
T Arunn, 48, mendakwa kecederaan melecur dialaminya sangat teruk hingga
mengambil masa 10 bulan untuk pulih, lapor akhbar Shin Min Daily.
Terapi bekam dengan api adalah perubatan alternatif Cina di mana ahli
terapi memanaskan udara dalam gelas, logam atau cawan kayu menggunakan
api dan kemudian menekapnya ke bahagian kulit.
Pengamal perubatan tradisonal percaya proses itu membantu pengaliran darah untuk memulihkan penyakit. Arunn berkata, dia pergi ke pusat kesihatan di Kompleks Fu Lu Shou di Bugis untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya, sebelum ini dia tidak mengalami masalah ketika melakukan rawatan bekam dan kunjungannya ke pusat kesihatan itu yang pertama sekadar untuk mencuba.
Arunn berkata, ahli terapi meletakkan 11 cawan di belakangnya sebelum menanggalkan ia 15 minit kemudian.
Arunn memberitahu, dia berasa ahli terapi itu tidak begitu mahir. Selepas mereka menanggalkan semua cawan di belakang tubuhnya, bahagian belakang badannya berasa panas.
Apabila dia melihat bahagian belakang tubuhnya di cermin, dia terkejut melihat kulitnya melecur membentuk bulatan cawan berkenaan.
Ahli terapi terbabit memberitahunya cawan itu mungkin dibiarkan terlalu lama dan meyakinkannya tiada apa perlu dibimbangkan.
Bagaimanapun, apabila pulang ke rumah, kesakitan di belakang tubuhnya semakin menjadi-jadi. Dia kemudian mendapatkan nasihat doktor dan diberitahu kulitnya melecur tahap kedua.
Doktor di hospital tempat dia dirawat memberitahunya ada 11 bulatan
kesan melecur di tubuhnya. Kira-kira empat peratus daripada seluruh
permukaan kulitnya melecur tahap kedua. Ia bersamaan dengan saiz empat
telapak tangan. - Shin Min Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan