GENEVA, Switzerland - Sekitar satu juta penduduk Syria mengalami
kekurangan makanan dengan kebanyakan mereka berada di zon konflik
berikutan tindakan pemerintah menyekat pengagihan bantuan, kata
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Elizabeth Byrs berkata,
pihaknya kini menyalurkan bantuan makanan kepada sekitar 1.5 juta rakyat
Syria pada setiap bulan berbanding sejumlah 2.5 juta orang yang
memerlukan bantuan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kelmarin berkata,
tindakan Presiden Syria, Bashar Al-Assad meletakkan syarat untuk
berdamai tidak akan membantu menamatkan penderitaan rakyat Syria.
"Setiausaha Agung (Ki-moon) kecewa bahawa ucapan Bashar pada 6
Januari lalu tidak membantu ke arah penyelesaian bagi menamatkan
kesengsaraan rakyat Syria," kata jurucakap PBB, Martin Nesirky.
Menurutnya, Ki-moon dan Utusan PBB-Liga Arab, Lakhdar Brahimi sedang
berusaha membentuk peralihan politik termasuk penubuhan pentadbiran
sementara dan mengadakan pilihan raya di bawah kelolaan PBB.
Selepas usaha damai terbaharu tersebut ditolak Bashar, Brahimi akan
mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi pada
hari ini.
Iran kini merupakan satu-satunya negara yang menyokong ucapan Bashar tersebut.
Dalam ucapannya, Bashar berikrar mahu menghapuskan pihak penentang di
Syria yang dilabel sebagai pengganas yang disokong oleh pihak asing.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac 2011 dengan lebih 43,000 orang dilaporkan terbunuh.
Para penentang Bashar mahu beliau digulingkan selepas didapati gagal
membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan hak kebebasan bersuara.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan