Negara digemparkan dengan pendedahan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tentang wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946. Wartawan Harakah, MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR menemuramah Pak Hashim Yaakob, 112, iaitu bekas buruh paksa pada tahun 1942 hingga 1946 di kediamannya baru-baru ini.
Sejak bila pakcik jadi buruh paksa?
Pakcik mula jadi buruh pada tahun 1942. (Pada ketika itu) pakcik baru berumur 20an. pakcik pulang ke Malaysia pada tahun 1946 diambil oleh wakil negara ketika itu.
Semasa menjadi buruh paksa, berapakah upah atau gaji yang diberikan oleh pihak Jepun?
Sehari pakcik diberi gaji RM3 saja untuk sehari, setiap bulan mereka akan bagi (kepada) kami.
Bagaimana teruk dan deritanya menjadi buruh paksa Jepun?
Mula-mula jadi buruh paksa, pakcik bersama kumpulan kira-kira 32 orang terpaksa berjalan kaki selama 16 hari daripada Padang Besar ke Timunta. Pakcik pergi (ketika itu) di peringkat ketiga bermakna ada orang sudah dahulu menjadi buruh paksa.
Kami dipukul oleh pihak Jepun jika tidak mendengar perintah dan arahan daripada mereka. Namun Jepun tidak mengasari kami jika patuh dengan arahan yang diberikan. Sepanjang pakcik menjadi buruh paksa, Jepun tak pernah pukul pakcik.
Macam-macam kerja yang kami kena buat, bukan sahaja landasan kereta api.
Bagaimana dengan aspek makanan dan kesihatan buruh paksa?
Jepun sediakan makanan untuk kami 5 kali sehari disetiap di tempat-tempat tertentu di sepanjang perjalanan. Ada pekerja yang menyediakan makanan. Mereka juga ada sediakan perubatan dan doktor untuk merawat kami.
Pakcik pulang dengan selamat, bagaimana pula buruh paksa yang lain?
Pakcik diambil pulang oleh pihak Malaysia bersama dua orang lagi, yang lain semua mati di sana. Ramai yang mati disepanjang perjalanan untuk menyiapkan landasan itu. Kalau ada buruh yang sakit atau mati, Jepun akan tinggalkan mereka (begitu sahaja) dan teruskan perjalanan.
Apabila balik ke Malaysia, ada apa-apa janji dan bantuan daripada kerajaan?
Selepas pulang daripada Siam sehingga sekarang tak ada langsung pembelaan atau janji daripada kerajaan. Tak ada sapa yang jumpa pakcik dan maklumkan apa-apa kepada pakcik. Satu sen pun pakcik tak dapat daripada kerajaan.
Pakcik tahu tak Jepun sudah membayar pampasan RM207 billion kepada kerajaan untuk diberikan kepada buruh-buruh paksa?
Pakcik langsung tidak tahu, sampailah Datuk (Seri) Nizar datang melawat saya dan maklumkan tentang pampasan. Pakcik sangat terkejut kerana tidak tahu menahu.
Apa perasaan pakcik apabila mendapat tahu Jepun sudah beri pampasan sedangkan pakcik tak dapat apa-apa?
Rasa terkilan kerana langsung tidak diberi tahu sedangkan Datuk Nizar kata kerajaan Jepun sudah beri pampasan itu pada tahun 2004, sekarang dah 2012.
Pakcik rasa duit pampasan itu hak pakcik?
Ya, sudah tentu. Bukan hak pakcik saja, itu hak semua bekas-bekas buruh paksa. Kami sudah menderita bertahun-tahun dizalimi Jepun.
Apa pesanan pakcik kepada kerajaan?
Saya harap kerajaan bagi tau kepada rakyat Malaysia (tentang pampasan itu) dan memberi secepat mungkin kepada buruh-buruh atau warisnya. Saya secara peribadi tidak halal dunia akhirat kalau kerajaan tak bagi duit itu kerana itu hak saya. Itu bukan hak mereka, itu hak kami!
Pakcik sokong tindakan PAS untuk membantu memperjuangkan hak buruh paksa ini?
Pakcik sangat sokong. Syukur alhamdulillah kerana PAS telah memperjuangkan hak pakcik dan buruh paksa lain. Kalau tidak, sampai bila pakcik tak tahu kerajaan Jepun ada bagi pampasan.
harakah/-
1 ulasan:
fikir balik..sejak bila negara penjajah membayar pampasan kepada negara dijajah..british bayar jugak ke? belanda? portugis?..jepun bayar atas alasan apa??..negara lain dibayar sama jugak ke..jepun serang china...berapa dia bayar??....kalau jantan terbitkan comment ini..
Catat Ulasan