SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan
anggota polis berpangkat rendah daerah ini yang akan bertukar dicemari
insiden memalukan apabila tiga lelaki yang memakai pakaian dalam wanita
melakukan aksi tarian separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah
Shah Alam kerana difahamkan persembahan yang sepatutnya diadakan di
sebuah hotel terkemuka di Selangor itu berbentuk tarian tradisional.
Bertemakan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan, majlis
itu hanya dihadiri oleh anggota dan pegawai polis Shah Alam dengan
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah itu sebagai orang kenamaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata,
insiden itu telah mencetuskan kontroversi apabila gambar memalukan itu
tersebar di laman sosial Facebook dan blog sehingga mendapat kritikan
pelbagai pihak.
Katanya, siasatan mendapati, tarian separuh bogel itu bukan sahaja
langsung tidak termasuk dalam aturcara majlis malah, ia tidak ditempah
dan tidak diadakan ketika sesi raptai serta latihan.
“Tarian itu dipersembahkan secara tiba-tiba dan penari terbabit pula
merupakan golongan lelaki yang memakai pakaian dalam wanita. Ia berlaku
secara mengejut dan spontan tanpa izin penganjur.
“Kita sedang menyiasat mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku dan
siapa yang bertanggungjawab. Penganjur telah membuat aduan kepada pihak
pengurusan hotel pada malam itu juga dan saya sedang membuat pertanyaan
sulit mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, majlis tertutup itu diadakan untuk meraikan bakal pesara,
pegawai dan anggota polis pangkat rendah daerah ini yang akan bertukar
tempat bertugas.
Menurut Zahedi, Polis Diraja Malaysia selama ini tidak pernah
menganjurkan acara tidak bermoral seperti itu yang nyata bertentangan
dengan agama Islam dan budaya pasukan keselamatan itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gambar tersebut jelas memaparkan imej tiga
individu memakai rambut panjang, seluar dalam dan coli sedang menari
dalam aksi ghairah berlatarbelakangkan tulisan Majlis Malam Mesra,
Sekalung Budi, Segunung Intan Polis Shah Alam.
Gambar tersebut menerima kecaman pelbagai pihak. Ketua Polis
Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melalui akaun Facebook peribadinya
melahirkan rasa terkejut melihat gambar itu.
Tun Hisan menyatakan polis tidak sesekali menyokong kemungkaran sebegitu dan akan menyiasat kejadian berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan