30 Januari 2013

Imuniti: Mahfuz sedia jumpa Deepak 6 Feb

18 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar akan mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan pada 6 Februari nanti jam 11 pagi di Pejabat Agung PAS.

Dalam pada itu, Mahfuz juga turut memberitahu mengenai jaminan imuniti, perkara tersebut belum diputuskan olehnya dan ia bergantung kepada penerangan yang akan dilakukan oleh Deepak pada pertemuan nanti.

"Saya hari ini menyatakan kesediaan saya untuk bertemu dengan Deepak pada 6 Februari nanti, dan turut hadir pada pertemuan tersebut adalah penasihat undang-undang (peguam).

"Saya harap Deepak akan bersedia sepenuhnya untuk memberi segala keterangan berhubung dengan apa yang ingin beliau dedahkan, mengenai imuniti perkara tersebut akan dibincangkan setelah mendapat khidmat nasihat dari pihak guaman," jelas beliau.

Jelasnya lagi, tarikh pertemuan tersebut akan dimaklumkan pada hari ini dan beliau akan menunggu persetujuan dari Deepak.

Tambah beliau, Deepak harus tampil untuk membuat pendedahan terhadap semua maklumat yang beliau ketahui kerana perkara ini melibatkan masa depan negara.

"Deepak harus tampil membuat segala pendedahan yang beliau ketahui mengenai apa yang berlaku selama ini.

"Perkara ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia melibatkan masa depan negara," sambung beliau.

Mahfuz ketika ditanya mengenai bentuk imuniti yang dikehendaki oleh Deepak itu, menjelaskan pihaknya tidak mengetahui bentuk imuniti yang dihendaki oleh ahli perniagaan itu.

Perkara tersebut hanya akan diputuskan setelah Deepak memberi keterangan dan mendapat nasihat dari peguam-peguam yang akan hadir nanti.

Sebelum ini, Deepak Jaikishan menyatakan bersedia bertemu dengan Mahfuz  berhubung permohonannya mendapatkan jaminan imuniti daripada Pakatan Rakyat.

Namun pertemuan tersebut ditangguhkan kerana beliau terlalu sibuk dengan majlis hari ulang tahun Tuanku Sultan di Alor Setar.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: