30 Januari 2013

Pastikan undi dari rakyat tempatan, bukan pendatang – Wan Azizah

18 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 30 Jan: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, setiap rakyat harus bertindak sebagai ejen bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) untuk mengelak berlaku penipuan.

“Setiap dari kita adalah ejen, walau sekecil mana peranan, kita semua membantu dalam ke arah perubahan, untuk jadikan Malaysia lebih baik,” katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam untuk mengumpul dana menjelang PRU 13 anjuran Parlimen Lembah Pantai, di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, malam tadi.
Jelas Wan Azizah, rakyat perlu sedar dan tegas dalam mempertahankan hak mengundi dari diseleweng serta digunakan oleh pendatang asing.

“Dalam pilihan raya, kita semua perlu jadi ‘polis’, sekurang-kurang jadi Paca (polling and counting agent). Pastikan kemenangan kita, jangan biar orang asing ambil undi kita,” tegasnya disambut tepukan kira-kira 1,000 hadirin.

Isteri Ketua Umum KEADILAN itu turut menceritakan pengalaman beliau bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada 2004, dan menjadi mangsa penipuan Umno BN serta SPR.

“2004, saya hampir menang, tapi undi saya dibuang sebanyak lebih 400 untuk memberi kemenangan kepada pihak lawan. Masa 2007 baru pegawai SPR itu mengaku berbuat demikian,” jelasnya.
“Alhamdulillah, walaupun diseleweng, saya masih mendahului tetapi SPR tak puas hati. Dia suruh buat kiraan semula keesokan paginya. Sepanjang malam semua Paca berjaga di pos mengundi agar tidak berlaku penyelewengan,” cerita Wan Azizah.

Justeru, beliau menyeru sukarelawan pilihan raya nanti sentiasa mengawasi peti dan kawasan mengundi di tempat masing-masing.

“Jangan tinggalkan pos mengundi, ikut peti undi ke mana-mana saja,” katanya.

“Kita perlu menang, kerana perjuangan ini sudah 14 tahun. Ia sudah menjadi suatu pengembaraan buat kita, tapi ia belum berakhir. Biarlah ia berakhir dengan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.

keadilndaily/-

Tiada ulasan: