31 Januari 2013

KL112: Juham sedia peguam hadir ke balai polis

19 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 14 orang yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu dinasihatkan tidak takut untuk membantu siasatan polis.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi berkata, 14 orang tersebut hanya dipanggil untuk membantu siasatan polis, bukan untuk didakwa.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak perlu hadir secara terburu-buru selagi notis pemberitahuan tidak dikeluarkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Dari sudut perundangan, mereka tidak perlu serah diri sehingga polis mengeluarkan notis pemberitahuan.

"Polis harus mengeluarkan notis pemberitahuan meminta mereka hadir untuk membantu siasatan. Polis ada prosedur siasatan, tidak boleh terus dakwa. Jadi mereka tidak perlu takut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Zamri juga berkata, Juham akan menyediakan peguam untuk menemani mereka ke balai polis selepas menerima notis.

"Juham akan sediakan peguam untuk menemani mereka kerana ikut prosedur, orang yang dipanggil ke balai polis boleh ditemani peguam," katanya.

Jika terdapat pendakwaan pula katanya, Juham akan memberikan khidmat guaman percuma kepada mereka.

"Juham akan ambil tanggungjawab ini untuk menyediakan peguam mewakili mereka," katanya.

Polis harus profesional

Sementara itu, Zamri mengingatkan pihak polis agar bersikap profesional dan tidak mengikut telunjuk Umno BN.

Katanya, tindakan mencari orang yang membawa kanak-kanak dilihat seolah-olah sengaja mencari kesalahan penganjur.

"Himpunan berlangsung aman dan tak ada apa-apa kerosakan kenapa selepas sebulan tiba-tiba polis cari mereka.

"Ini menunjukkan Umno BN yang sebenarnya takut melihat kehadiran rakyat ke himpunan, jadi mereka cari kesalahan," katanya.

Tambahnya lagi, pihak polis harus mengutamakan isu keselamatan rakyat berbanding mencari kesalahan begini.

"Saya ingatkan polis lebih profesional dan bertindak mengikut keutamaan.

"Banyak lagi kes orang hilang, jenayah di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang ni," katanya.

Menurut polis, perbuatan membawa kanak-kanak ke himpunan melanggar Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman denda maksimum RM20,000 di bawah PAA, dan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Kanak-kanak.

harakah/-

Tiada ulasan: