31 Januari 2013

Wanita dimartabat jika Pakatan kuasai Putrajaya

19 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mencadangkan supaya Pakatan Rakyat meletakkan wanita di setiap kementerian sama ada jawatan menteri atau timbalan menteri sekiranya mendapat mandat dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Timbalan Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, apa yang dilaksanakan kerajaan BN hari ini tidak menyeluruh mengakibatkan beberapa perkara dibuat tanpa memikirkan soal wanita.

Katanya, ini perlu bagi memastikan agenda wanita yang dirancang bersama dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berpandangan sedemikian ekoran tindakan Umno BN yang memandang ringan soal wanita sehinggakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau percaya penglibatan wanita di peringkat kementerian dapat dipertingkatkan selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Kutipan Dana Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) anjuran PKR Lembah Pantai, kelmarin.

Agenda Wanita Malaysia yang diperkenalkan Wanita Pakatan Rakyat pada April tahun lalu mengariskan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan apabila PR berjaya mentadbir negara.

Antaranya adalah caruman berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun untuk golongan suri rumah yang berpendapatan isi rumahnya kurang daripada RM 1,500 sebagai simpanan masa depan.

Selain itu, satu Suruhanjaya Anti-Keganasan Rumah Tangga bakal ditubuhkan bagi melindungi golongan wanita yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, MP Seputeh, Teresa Kok dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadirin turut dihiburkan dengan penampilan khas penyanyi terkenal negara Aishah.

harakah/-

Tiada ulasan: