14 Januari 2013

Zairil kesal serangan peribadi dari Tunku Aziz

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -









(Zairil kesal serangan pribadi Tunku Aziz)

KUALA LUMPUR: Zairil Khir Johari, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP kesal dengan serangan peribadi yang dibuat oleh bekas Naib Pengerusi DAP, YM Tunku Aziz.

Beliau dengan tegas berkata, "Saya tidak akan mengkhianati warisan ayahanda saya."

Ini adalah buat pertama kalinya pimpinan DAP menjawab segala serangan yang dibuat oleh bekas pemimpin yang meninggalkan DAP itu.

"Saya berasa amat dukacita dan kecewa membaca serangan YM Tunku Aziz ke atas keturunan dan nama baik keluarga saya.

"Saya percaya bahawa politik sebegini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita, dan saya kesal kenyataan ini datangnya daripada seorang yang berkedudukan seperti beliau," kata Zairil yang juga Setiausaha Politik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Saya tahu siapa ayahanda saya, dan bagi saya itu sudah mencukupi.

"Saya berbesar hati menyatakan bahawa saya bukan sahaja telah mewarisi darahnya, malah saya harap saya telah juga mewarisi integriti, ketabahan dan prinsip-prinsipnya.

"Sepertimana sifat-sifat ini telah menjadi panduan kepada kerjaya politiknya yang dihormati ramai, insya-Allah ia juga akan menjadi panduan kepada saya," kata Zairil dalam kenyataannya.

Menurut Zairil, arwah ayahanda beliau, Allahyarham Khir Johari, tidak pernah sesekali pun mengalah dalam perjuangannya untuk tanah air.

"Saya sedar bahawa mereka yang menganiayai saya ingin menghancurkan semangat saya.

"Namun begitu, sekiranya saya mengalah, saya bukan sahaja akan mengkhianati diri, malah mengkhianati warisan ayahanda saya.

"Ini saya tidak sanggup lakukan sama sekali," katanya tegas.

harakah/-

Tiada ulasan: